JUST anjur ceramah ‘istimewa’ esok
SHAH ALAM - Ceramah umum anjuran Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) bakal membawa harapan besar untuk meningkatkan kesedaran kepada umat Islam di Malaysia mengenai isu rakyat Palestin esok.
Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar berkata, pihaknya sedia maklum terdapat banyak pihak terlibat dalam isu yang berlaku di negara berkenaan dan pihaknya hanya melakukan sebahagian daripada usaha itu.
“Namun, yang istimewa kali ini ialah individu yang menyampaikan ceramah ini adalah seorang sarjana yang juga seorang ahli sejarah berasal dari Israel iaitu Profesor Ilan Pappe,” katanya.
Sehubungan itu, pihak JUST mengajak semua lapisan masyarakat untuk hadir pada ceramah berkenaan di Istac Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi sehingga 1 petang.
Mengulas lanjut, Dr Chandra Muzaffar berkata, jarang sekali sarjana-sarjana dari Israel yang berani tampil ke depan, berani menyuarakan pandangan sedemikian secara terbuka termasuk menghasilkan buku berkaitan.
Bukan sekadar ahli sejarah yang memperjuangkan isu Palestin, Pappe juga Pengarah Pusat Eropah untuk Pengajian Palestin dan seorang ahli Institut Pengajian Arab dan Islam di Universiti Exeter.
Beliau dilahirkan di Haifa dan menerima BA dari Universiti Ibrani di Baitulmuqaddis dan mengajar di Universiti Haifa hingga tahun 2007.
Selain itu, Pappe juga merupakan pengarang dua puluh buku dan banyak artikel mengenai sejarah Timur Tengah pada umumnya dan khususnya senario yang berlaku di Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!