Klinik di kawasan tidak sesuai, tak selamat akan ditutup

Dr Boon Chye meninjau keadaan Klinik Kesihatan Bijeh Timah sempena lawatan kerjanya hari ini.
Dr Boon Chye meninjau keadaan Klinik Kesihatan Bijeh Timah sempena lawatan kerjanya hari ini.
A
A
A

IPOH - Klinik kesihatan dan klinik desa terutama di kawasan terpencil yang tidak lagi sesuai beroperasi disebabkan faktor keselamatan dan ekonomi akan ditutup.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, berdasarkan penilaian dibuat didapati, banyak klinik-klinik desa yang dibangunkan di kawasan pinggir bandar telah pun mengalami pembangunan pesat menyebabkan lokasi klinik tidak lagi selamat dan praktikal.

"Pada 70-an dan 60-an dulu, banyak klinik kesihatan ataupun klinik desa yang kita bangunkan di kawasan-kawasan terpencil untuk beri perkhidmatan kepada kumpulan penduduk di situ.

"Tetapi banyak kawasan yang dikatakan terpencil masa itu sekarang sudah membangun, pengangkutan pun sudah meningkat dan senang.

"Jadi adalah penting untuk kita lihat pengoperasian secara keseluruhan, mana-mana tak sesuai akan kita nilai semula termasuk menutup operasi," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Bijeh Timah di sini hari ini.

Beliau memberi contoh Klinik Kesihatan Longsang di Miri Sarawak yang terpaksa ditutup kerana sering dinaiki air setiap kali banjir.

"Klinik itu beroperasi dengan menyewa sebuah bangunan, kita ambil keputusan untuk menutup klinik berkenaan dan bangunkan sebuah klinik kesihatan baru di tapak berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Lee Boon Chye sempat menyapa pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bijeh Timah sempena lawatan kerjanya hari ini.
Dr Lee Boon Chye sempat menyapa pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bijeh Timah sempena lawatan kerjanya hari ini.

Dalam lawatan berkenaan, Boon Chye berkata, Klinik Kesihatan Bijeh Timah yang beroperasi sejak 2016 itu akan ditutup.

Katanya, keputusan itu dibuat mengambil kira keadaan ruang klinik terhad yang tidak mengikut spesifikasi bagi penyediaan tempat ubat dan pemeriksaan serta hanya menerima kehadiran pesakit sekitar 52 orang sahaja.

"Jika mahu diubah suai ia memerlukan kos yang tinggi sedangkan pesakit tidak begitu ramai, jadi saya harap keputusan untuk tutup klinik ini boleh diterima penduduk.

"Mereka akan dicadangkan mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan ke klinik-klinik berdekatan seperti di Greentown, Buntong dan UTC sementara 10 kakitangan bersama dua pegawai perubatan yang berkhidmat di sini akan dipindahkan ke klinik kesihatan lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, perkhidmatan kesihatan di bangunan baharu Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang menempatkan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi akan beroperasi sepenuhnya Mac ini.

Jelasnya, buat masa ini hanya bahagian kardiologi yang sudah mula digunakan sejak Disember lalu.

"Penyerahan bangunan tersebut telah dibuat sejak Julai tahun lalu, tetapi kita memerlukan enam bulan untuk kajian bagi memastikan segala yang diambil alih itu dapat berfungsi dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!