Perak setuju bekal air kepada Pulau Pinang - Anwar
GEORGE TOWN - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah bersetuju untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Perak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembekalan itu akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian sehingga ke kawasan Seberang Perai.
Menurutnya, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
"Kerana kebimbangan terutamanya di kawasan Nibong Tebal tentang bekalan air, saya percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan Kedah akhir-akhir ini, mudah-mudahan berkekalan. Saya percaya boleh dirunding dengan cara lebih profesional, keperluan Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah kedah daripada soal air.
"Di samping itu, inisiatif kerajaan Pulau Pinang yang dimulakan dari dulu dan kita menerima baik kerana Tuanku Sultan Perak serta kerajaan Perak bersetuju untuk membekalkan bekalan air dari Sungai Perak melalui Industri Hijau Kerian, sekurang-kurangnya ke Seberang Perai.
"Fasa pertama akan masuk ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara dan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Pada 3 Januari lalu, Saarani berkata, Projek Air Perak Pulau Pinang dijangka tidak dapat dilakukan tahun ini kerana perlu menunggu peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian, Perak selain menyelesaikan terlebih dahulu proses berkaitan bekalan air terawat antara kedua-dua negeri.
Bagaimanapun, Anwar ketika lawatan ke Pulau Pinang pada 16 Februari lalu pula memberitahu, Kerajaan Persekutuan akan menyegerakan projek Air Perak Pulau Pinang selepas mengumumkan untuk membangunkan Kerian Hi-Tech, yang turut akan membawa limpahan pelaburan dan pembangunan ekonomi ke SPS termasuk di Sungai Acheh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!