Pusat Mempelam dijenamakan semula untuk tarik pengunjung
YAN - Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan kini dijenamakan semula sebagai Pusat Mempelam Kedah (PMK) bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pusat mempelam terbabit telah lama wujud namun dikhuatiri tidak ramai mengunjunginya.
Menurutnya, situasi terbabit berkemungkinan berlaku disebabkan ramai orang menyangka bahawa ia adalah pusat penyelidikan semata-mata kerana adanya perkataan ‘Teknologi’ pada nama pusat itu.
"Untuk itu, kita sudah membuat satu keputusan iaitu nama Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan ini perlu diubah untuk dilihat lebih mesra masyarakat.
"Pusat berkeluasan 4.8 hektar yang wujud sejak 1977 ini mempunyai 503 bilangan pokok dan terdapat 111 varieti mempelam yang dikumpul dari serata negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan pada Ahad.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, PMK adalah satu-satunya ladang mempelam di Malaysia dan mungkin di dunia yang mempunyai begitu banyak koleksi varieti mempelam seumpama ini.
Tambahnya, ada 40 varieti mempelam dari Kedah, 39 varieti mempelam dari negeri-negeri lain di seluruh Malaysia dan 32 varieti mempelam dari luar negara.
"Antara varieti mempelam dari Kedah termasuklah Intan Syafinaz, Kuala Nerang, Sala, Laris, Haji Abdullah, Hajah Rubiah dan lain lain.
"Varieti dari negeri lain pula seperti Dato Keramat (Selangor), Golek (Negeri Sembilan), Gunong Rapat (Perak) dan sebagainya," katanya.
Beliau memaklumkan, pusat terbabit turut mempunyai pelbagai varieti antarabangsa iaitu Alimali yang berasal dari Negara Mali, Kortulumbun (Sri Lanka), Hayden (Amerika Syarikat), Khoy Savoy (Thailand) sehinggalah Zeblia (Mesir).
Kongsinya lagi, penjenamaan semula itu turut dilakukan memandangkan PMK berpotensi menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Jadi, kita ingin menjadikan pusat ini sebagai pusat pemasaran Harumanis D’Aman dan juga jenis-jenis mempelam lain yang ada di Kedah.
"Kita juga ingin menjadikan pusat ini sebagai pusat penyelidikan, informasi dan rujukan mengenai mempelam, termasuk pembekalan benih dan khidmat nasihat,"katanya.
Tambah beliau, selain pelbagai varieti mempelam,terdapat tarikan lain seperti galeri pameran dan lokasi “healing” dengan banyak tempat bergambar serta lokasi beriadah bersama keluarga.
"Pusat ini juga telah diiktiraf sebagai salah satu destinasi agropelancongan di Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
"Dengan adanya pusat ini dalam kalendar pelancongan Kedah, kita yakin ia akan dapat menarik minat penggemar mempelam dari dalam dan luar negeri juga penyelidik untuk datang ke sini," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau telah melancarkan pemasaran mempelam harumanis di bawah jenama Harumanis D’Aman pada tahun lepas.
"Alhamdulillah, saya difahamkan Harumanis D’Aman telah mendapat sambutan dan langganan yang sangat baik.
"Dengan tanah luas yang kita ada dan potensi untuk meluaskan lagi penanaman harumanis, saya yakin Harumanis D’Aman akan mendominasi pasaran dalam beberapa tahun akan datang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!