Tingkat latihan berkaitan AI, TVET - Anwar
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak pelaksana terutamanya kementerian untuk memberi fokus melatih golongan anak muda mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya negara tidak ketinggalan dalam bidang itu.
Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, pendedahan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diberi penekanan dan ditingkatkan dengan memastikan sesiapa sahaja yang berminat termasuk pelajar maahad tahfiz dapat memanfaatkan program disediakan kementerian mahupun agensi kerajaan.
“TVET itu harus ditingkatkan untuk memenuhi (permintaan pelabur) seperti tiga atau empat hari lalu, kita ada Microsoft yang melabur RM10.5 bilion dan ini memerlukan puluhan ribu pekerja.
“Kalau (pelaburan itu melibatkan) semua ekosistem maka ratus ribu pekerja harus dilatih. Apakah kita ada keupayaan itu?” kata Anwar sambil memaklumkan bahawa Malaysia kekurangan 30,000 jurutera ketika ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini pada Ahad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, latihan berkaitan AI dan TVET mesti memberi peluang kepada semua penduduk di setiap kawasan bagi mengelakkan perbezaan keupayaan antara kawasan bandar dan pedalaman.
"Kalau kita ambil kursus ini hanya untuk orang elit bandar maka akan berlaku kesenjangan dengan orang di desa atau kampung. Sebab itu peluang (latihan AI dan TVET) mesti kepada semuanya supaya dapat menguasai (kedua-dua bidang itu) sepenuhnya.
"Saya hendak menekankan harapan saya, kerajaan Persekutuan akan bekerjasama kerajaan negeri supaya peringkat latihan baharu ini diberikan keutamaan, kalau tidak kita akan ketinggalan," katanya.
Perdana Menteri turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus berusaha menggalakkan minat golongan pelajar sekolah dalam subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus dapat meningkatkan bidang AI serta TVET di negara ini.
"(Subjek) matematik dan sains pula, anak-anak kita kurang minatnya. Saya tekankan kepada KPM macam mana pun harus ditekan dan dipaksa supaya ada peralihan itu, segera," katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, KPM tidak boleh menggunakan pendekatan lama dalam melaksanakan peralihan itu dengan meletakkan sasaran tertentu sebaliknya melakukannya sekarang supaya negara boleh bersaing dengan negara lain.
"Pendekatan sekarang ini, kita rancang sekarang, tetapi kita jalankan bulan depan. Baru boleh kita bersaing dengan negara-negara lain. Jadi belajar daripada apa yang dilakukan di Singapura, Indonesia dan Thailand. Semua mengatakan bahawa penyesuaian di universiti dan sistem pendidikan mesti dilakukan segera," katanya.
Menyentuh cabaran AI yang dihadapi kini, beliau berkata, golongan anak muda khususnya beragama Islam perlu menguasai teknologi baharu itu untuk membantu memasukkan prinsip al-Quran dan hadis bagi menjamin maruah serta nilai diamalkan Malaysia.
"Kalau kita bawa AI yang diasak dari barat semata-mata, maka kita akan menghadapi masalah. Kita perlu masukkan dalam rangka atau elemen sistem AI ini sebab itu anak-anak kita harus mempunyai kepakaran masukkan prinsip al-Quran, hadis dan kriteria Islam.
"Jadi, apabila ia masuk di Malaysia dalam teknologi baharu maka kita tidak akan bimbang sama sekali bahawa soal nilai itu kita tidak diasak dan dipaksa barat, sekali gus dapat pertahankan maruah dan nilai kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak boleh kalah dalam aspek tahap efisien oleh perkhidmatan awam dengan negara-negara jiran terutamanya berkaitan proses kelulusan kerana ia penting untuk menarik pelaburan.
Justeru, Anwar mahukan tahap kecepatan dalam melulus pelaburan mesti setanding dengan keupayaan negara lain seperti Vietnam. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!