[VIDEO] PRN Sabah: Bersatu, PN belum putuskan kerusi bakal ditandingi

A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum memutuskan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan menyertai PRN itu yang akan diadakan pada bila-bila masa.

"Secara khusus tidak ada (perbincangan kerusi), saya hadir ke sini pertama kali berjumpa dengan mereka, semalam saya berjumpa dengan ketua bahagian di Sabah, yang pasti topik utama adalah persiapan menghadapi pilihan raya, bila saya belum tahu lagi.

"Kita tak akan pergi secara terperinci sekarang, kerana (soal) kerusi itu terlalu awal kita nak tetapkan yang pastinya dalam PRN Sabah yang akan datang, Bersatu, PN akan menyertai di mana keputusan akan dibuat nanti," katanya kepada pemberita dalam siding akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah di sini pada Ahad.

Muhyiddin (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad
Muhyiddin (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad

Pengerusi PN itu turut berkata, Bersatu Sabah kini dalam peringkat untuk membina semula parti dengan penyertaan daripada pemimpin muda dan baharu dalam parti selepas peristiwa pengkhianatan yang berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita melihat sudah ada minat dan kesungguhan orang-orang Sabah yang dulunya menyertai Bersatu terus menyertai yang baru dan saya kagum ramai antaranya orang muda, ketua-ketua bahagian muda tetapi mereka ada kelayakan, ada kelulusan.

"Jadi ini menunjukkan Bersatu ada harapan dan orang-orang yang memang tahu serta bersedia sanggup berkorban, jadi kita tak bincang tentang siapa yang nak jadi calon," katanya.

Jelas bekas Perdana Menteri itu lagi, Bersatu kini sedang giat memberi perhatian terhadap isu yang dihadapi rakyat bukan sahaja di peringkat negeri tetapi negara.

"Isu paling utama jadi perhatian Bersatu ialah masalah yang rakyat Sabah sedang hadapi, isu berkaitan infrastuktur, bekalan air, elektrik, masalah ekonomi, kemiskinan, Pendidikan luar bandar, apalagi dalam keadaan situasi di peringkat nasional yang saya percaya tidak ada kesungguhan kerajaan pusat bantu Sabah itu jelas.

"Saya tak dengar berbilion-bilion yang telah disalurkan, malah isu yang dihadapi rakyat Sabah seperti juga dihadapi rakyat Malaysia yang lain, iaitu masalah ekonomi, masalah kos sara hidup, masalah peningkatan harga barang yang melambung tinggi, masalah cukai yang ditambah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan sebagainya.

"Bebanan yang tidak berkurangan, masalah bekalan ayam tak cukup, beras sudah hilang, masalah janji yang langsung tidak ditunaikan, reformasi sudah jadi reformati dan janji-janji yang dibuat langsung tak ditepati mahupun dilaksanakan.

"Malah orang sudah bagi 'branding' kerajaan bohong dan ini mengambarkan perasaan kecewa malahan sudah sampai tahap marah tentang kerajaan pusat apa lagi tidak berjaya menyelesaikan bnanyak isu dan masalah negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!