Dirogol bapa: KPWKM akan nilai kemampuan mangsa urus anak

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menilai kemampuan wanita yang dilaporkan menjadi mangsa rogol bapa kandungnya dalam menguruskan anak yang dilahirkan hasil daripada perbuatan sumbang mahram itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya bersedia menguruskan proses tertentu bagi memastikan perlindungan rapi diberikan kepada anak mangsa sekiranya wanita berusia 20 tahun itu didapati tidak mampu menjaga anak kecilnya itu.

"Ibu (mangsa) sudah 20 tahun, sudah dewasa jadi mungkin ada perancangan sendiri, nak jaga anak sendiri, (tetapi) kita perlu ada siasatan untuk melihat kemampuan dan memilih penyelesaian terbaik kepada isu ini dan sekiranya mangsa perlukan perlindungan kita sentiasa bersedia kerana itu tanggungjawab dan tugas kita,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena rumah terbuka Aidilfitri, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kisah wanita yang dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun yang berlaku di Kampung Chuah, Port Dickson sehingga mangsa melahirkan dua orang anak; seorang meninggal dunia semasa lahir manakala seorang lagi berusia tiga tahun.

Nancy berkata, pihaknya masih menunggu laporan pihak polis bagi mengambil langkah seterusnya.

Nancy berkata, kejadian berkenaan ‘membuka mata’ masyarakat kepentingan pendidikan seks serta kerjasama rentas kementerian bagi memastikan kanak-kanak bawah umur memahami tindakan yang perlu diambil sekiranya mereka berada dalam situasi sedemikian.

"Ini sesuatu yang menyakitkan untuk didengar... kami di kementerian amat sakit hati, sedih dan marah... kita terpaksa mencari jalan untuk mengelak perkara seperti ini berlaku dan ia melibatkan semua kementerian berkaitan untuk perketatkan hal pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati kejadian terkutuk itu berlaku sejak 2016 sehingga tahun ini di dalam rumah yang sama di kampung tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkat, ibu bapa pengadu, masing-masing berusia lingkungan 40-an itu ditahan Jumaat lepas pada kira-kira 11.40 pagi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson bagi membantu siasatan.

Katanya ibu bapa pengadu tersebut didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan kedua-duanya di reman lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!