Tidak pernah salahkan takdir terpilih jaga adik sakit

Mek Yam (kiri) mengusap tangan Mohamad Khairul yang tidak mampu bergerak ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Mek Yam (kiri) mengusap tangan Mohamad Khairul yang tidak mampu bergerak ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kehidupan seorang wanita dirundung duka selepas adiknya disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 10 tahun lalu.

Noraini Ariffin, 45, berkata, biarpun diuji dengan tahap kesihatan adiknya, Mohamad Khairul Ariffin, 31, namun beliau sedikit pun tidak menyalahkan takdir.

Sebaliknya, anak kedua daripada tujuh beradik itu tetap setia menjaga adik lelakinya itu seperti menguruskan anaknya sendiri, selain berkorban masa dan tenaganya.

"Saya terima ujian ini. Kalau Tuhan hendak uji, dia (Mohamad Khairul) tinggal dengan saya bukan seperti adik tapi sudah macam anak sendiri.

"Apabila dia sakit macam ini, takkan saya hendak buang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang di sini pada Ahad.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, selain buah pinggang kronik, adiknya turut menghidap penyakit saraf, sawan, jantung dan paru-paru bocor sejak beberapa tahun lalu, sekali gus kehidupan Mohamad Khairul berubah 100 peratus, selepas tidak mampu bergerak dan bekerja.

Noraini menambah, adiknya kini bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga untuk menguruskan saki-baki kehidupan sehingga ke akhir hayat.

"Dia bergantung sepenuhnya kepada saya dan suami (Napi Che Isa) yang tanggung segalanya.

Artikel Berkaitan:

"Suami (pula) bekerja kerja sendiri, saya pula tidak kerja.

Noraini menunjukkan pelbagai jenis ubatan yang perlu dimakan setiap hari oleh Mohamad Khairul, selain rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Noraini menunjukkan pelbagai jenis ubatan yang perlu dimakan setiap hari oleh Mohamad Khairul, selain rawatan dialisis tiga kali seminggu.

"Saya tidak boleh bekerja sebab saya perlu uruskan dia, kalau saya tiada siapa hendak jadi pemandu untuk hantar seminggu tiga kali kena cuci buah pinggang di Pusat Dialisis di Sungai Lembing," luahnya lagi.

Lebih menyayat hati, kehidupan Noraini bersama ibu dan adiknya serta anak-anaknya bergantung penuh kepada sumber pendapatan Napi, 55, yang bekerja sendiri.

Ujarnya, pendapatan diraih sekitar RM2,000 sebulan itu digunakan bagi kelangsungan hidup, selain membelanjakan sebahagian kewangan tersebut untuk Mohamad Khairul.

"Kos minyak untuk ke pusat dialisis sekitar RM600 sebulan, lampin pakai buang pun dalam dua hingga tiga bungkus sebulan.

"Suami banyak berkorban dan rela tidak makan untuk bagi duit minyak untuk hantar adik ke pusat dialisis.

"Suami sanggup balik makan di rumah sebab mahu dahulunya (wang untuk) rawatan adik tapi kini alhamdulillah sebab JKM sudah salurkan bantuan RM500 sebulan, ringanlah sikit beban untuk tampung kos lampin pakai buang adik," katanya sambil memberitahu perlu membayar sewa rumah sekitar RM600 sebulan.

Dalam pada itu, Noraini turut mengharapkan ada individu prihatin dapat menyumbang katil boleh laras dan juga kerusi roda untuk memudahkan pergerakan serta menguruskan adiknya.

Katanya, itu antara keperluan mendesak ketika ini selepas tidak mampu untuk membeli kemudahan tersebut.

Orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank 156012319459 atas nama Noraini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!