Pemandu lori sawit maut tercampak
SEGAMAT - Seorang pemandu lori maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dipandunya dalam satu kemalangan di Jalan Jementah Batu Anam - Kampung Paya Lebar di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Muhammad Nur Shaiful Jalil, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Zakaria berkata, seramai enam anggota dengan bantuan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
"Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan buah sawit yang dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbalik.
"Pemeriksaan juga mendapati pemandu berkenaan turut mengalami kecederaan parah akibat tercampak daripada kenderaan dipandunya itu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ibrahim berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Segamat bagi proses bedah siasat.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!