MCBA bantu kawal penyeludupan di sempadan
KOTA BHARU - Agensi Pintu Masuk dan Kawalan Malaysia (MCBA) yang bermula Rabu mampu membantu mengurangkan masalah penyeludupan di sempadan.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, walaupun bukan sepenuhnya, namun agensi itu dapat mengukuhkan kerjasama dalam operasi bersepadu.
Beliau turut menyifatkan tugas menjaga sempadan agak sukar kerana berdepan dengan penyeludup yang tetap berdegil melanggar undang-undang.
"Sebelum ini, ketika pasukan keselamatan melakukan rondaan, penyeludup masih berani menolak tong besar menyeberang Sungai Golok.
"Apatah lagi keadaan sungai kini sudah kering," katanya kepada pemberita ketika Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini pada Ahad.
Fuziah turut memuji KPDN dan pasukan keselamatan yang bekerja kuat untuk menguatkuasakan undang-undang.
Hadir sama, Pengarah KPDN Kelantan, Datuk Azman Ismail
Pada majlis sama, Fuziah turut melancarkan lagu tema KPDN Kelantan yang dinyanyikan artis tempatan, Man Khan.
Dalam pada itu, Fuziah memberitahu, KPDN Kelantan menyita lebih RM2.64 juta barang kawalan yang dirampas sepanjang Januari tahun ini sehingga Sabtu (semalam).
Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak RM379,402 membabitkan petrol, diesel, minyak masak dan gula.
"Sebanyak 296 kes diambil tindakan dan kes tertinggi membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu 191 kes manakala 109 orang ditangkap," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!