Kaji semula hukuman pesalah rasuah libatkan jutaan ringgit
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula hukuman terhadap pesalah rasuah dalam kes libatkan jutaan ringgit dan salah laku individu berjawatan tinggi bagi mengekang gejala itu terus berleluasa.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, peruntukan hukuman sedia ada tidak cukup berat malah penalti dikenakan juga kurang memberi kesan terhadap mereka.
"Hukuman membabitkan kes rasuah libatkan jutaan ringgit perlu dikaji semula. Salah laku mereka sebagai orang atasan perlu diberikan hukuman lebih berat seperti didenda 10 kali ganda berbanding nilai suapan (minimum RM10 juta).
"Selain itu, tempoh penjara juga perlu dipanjangkan sehingga 50 tahun supaya boleh menjadi iktibar kepada mereka yang berkedudukan tinggi dan berkepentingan untuk menjauhi amalan rasuah yang telah menjadi musuh negara kita," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat di Johor Bahru ditahan selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada pemilik dua syarikat kontraktor.
Tambah Hamdan, CEO atau pengurusan tertinggi seharusnya memberikan teladan baik kepada orang bawahan namun sebaliknya rakus mengambil kesempatan malah terlibat dengan jenayah rasuah yang semakin menjadi barah dalam masyarakat.
Jelas beliau, kempen kesedaran mengenai rasuah juga perlu diteruskan bagi mendidik masyarakat agar tidak leka dengan amalan rasuah yang sememangnya memberi kesan buruk kepada moral dan ekonomi negara.
"Kempen yang berterusan dan usaha yang sedia ada wajar diteruskan agar jangan menjadi layu malahan memerlukan pembaharuan dalam usaha memperteguh dan mempergiatkan kempen bermula dari sekolah hingga ke tempat pekerjaan.
"Semoga usaha berterusan seperti ini mampu mengubah Malaysia bebas rasuah," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!