Indonesia arah semua rumah sembelih ayam dapatkan pensijilan halal
JAKARTA - Kementerian Perdagangan Indonesia mengarahkan semua rumah sembelih ayam supaya mendapatkan pensijilan halal mulai Oktober ini bagi memastikan kualiti produk ayam itik yang dikeluarkan.
Menterinya, Zulkifli Hasan menekankan kepentingan garis panduan baharu ini yang meliputi pelbagai aspek penyembelihan, pemprosesan dengan mematuhi standard halal.
Garis panduan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk semua perusahaan mikto, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor masak-memasak untuk memperoleh pensjilan halal menjelang Oktober.
Dalam satu kenyataan beliau berkata: "Keputusan ini menyasarkan untuk melonjakkan keyakinan pengguna, terutamanya dalam kalangan pengguna Muslim dan meningkatkan persaingan produk Indonesia di peringkat sejagat.
Beliau juga menekankan keperluan menyegerakan pelaksanaan pensijilan halal madatori dan menyatakan kesediaan seharusnya menjadi keutamaan.
"Pensijilan halal adalah penting. Jika tidak sekarang, bila? Kita tidak boleh menunggu untuk selama-lamanya,” kata beliau.
Pada 1 April lepas, Menteri Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Teten Masduki menyatakan kebimbangannya bahawa menepati tarikh tutup untuk pensijilan halal mungkin mencabar, terutamanya SME dalam sektor masak-memasak.
Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BJPJH) Kementerian Hal Ehwal Agama sedang mempercepatkan proses pensijilan halal menerusi kempen "Halal Mandatori Menjelang Oktober 2024” sejak tahun lepas.
Kempen itu mendidik pemilik perniagaan, pihak berkepentingan dan orang awam mengenai keperluan perundangan untuk pensijilan produk diedarkan di Indonesia, yang menempatkan populasi penganut Islam terbesar di dunia.
Ia sejajar dengan fasa pertama pensijilan mandatori mulai Oktober ini yang meliputi tiga kumpulan produk; makanan dan minuman, bahan mentah dan bahan tambah serta produk dan perkhidmatan sembelih.
Bulan lepas, BPJPH melaksanakan acara pendaftaran pensijilan halal serta-merta di 5,040 lokasi.
Mereka juga melaksanakan program pemantauan bersepadu dalam sektor huluan di 1,068 lokasi termasuk kemudahan makanan dan minuman serta rumah sembelih di 34 wilayah. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!