Tiga maut, empat cedera pacuan empat roda terhumban dalam parit

Kemalangan berlaku berhampiran Rumah Ngambang di Batu 72, Suai, Niah, dekat Miri, membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang membawa tujuh penumpang. - Foto JBPM Sarawak
Kemalangan berlaku berhampiran Rumah Ngambang di Batu 72, Suai, Niah, dekat Miri, membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang membawa tujuh penumpang. - Foto JBPM Sarawak
A
A
A

MIRI - Tiga maut manakala empat yang lain cedera setelah kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam parit.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, insiden berlaku berhampiran Rumah Ngambang di Batu 72, Suai, Niah dekat sini.

Bomba katanya, menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.55 petang, Ahad dan segera mengatur gerak dua jentera dan tujuh anggota dari Balai Batu Niah ke lokasi selain sebuah ambulans EMRS dari Balai Lopeng.

"Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang membawa tujuh penumpang.

"Dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pasukan paramedik Klinik Kesihatan Batu Niah," katanya.

Pasukan bomba, tambah Henderi, kemudiannya bertindak mengeluarkan empat mangsa yang berada di dalam longkang dan seorang lagi di kawasan semak.

"Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak paramedik yang kemudian mengesahkan tiga daripadanya telah meninggal dunia.

"Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Evelyn Shely Manyie, 26 tahun, Eddy Indau, 26 tahun dan Jenging Tinsok, 39 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Empat lain yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, dikejarkan ke Hospital Miri. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!