Lapan termasuk dua bayi cedera, MPV terbabas
BAGAN SERAI - Lapan termasuk dua bayi cedera dalam kemalangan berhampiran susur keluar Alor Pongsu Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, awal pagi Isnin.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai pada jam 2.16 pagi membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, MPV dinaiki lapan individu itu dilaporkan terbabas ketika melalui laluan di Kilometer 183.9 arah utara sebelum terbalik.
"Anggota yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan.
"Semua mangsa membabitkan seorang lelaki, tiga wanita, dua kanan-kanak dan dua bayi itu telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, tujuh mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi patah kaki.
"Operasi tamat pada jam 3.45 pagi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!