Kemenangan motivasi buat Speedy Tigers
KEMENANGAN skuad hoki lelaki negara ke atas Kanada disifatkan dos penggalak selepas tewas kepada Pakistan dalam perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada Ahad.
Namun di sebalik tiga mata pertama itu, pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui masih terdapat banyak perkara perlu diperbaiki bagi memastikan skuad baharu tersebut berdaya saing.
Malah tegasnya, barisan pertahanan masih bermasalah apabila melepaskan gol mudah kepada pihak lawan.
Katanya, skuad baharu negara menjaringkan gol dalam tempoh pantas, namun pada masa sama melepaskan gol ketika permulaan permainan dan bangkit dengan dua gol selepas itu seterusnya gol ketiga.
“Permulaan suku ketiga kita dapat gol awal dan Kanada jaringkan gol semula, selepas itu kita dapat dua gol dan memenangi perlawanan.
“Saya fikir kami masih banyak perlu diperbaiki terutama membenarkan dua gol mudah dijaringkan lawan (Kanada).
“Barisan pertahanan perlu dikukuhkan dan diperbaiki, saya ingin ingatkan lagi ini pasukan muda dan memerlukan masa membentuk keserasian. Secara keseluruhan saya berpuas hati prestasi dan komitmen ditunjukkan pemain, itu yang kita mahu lihat dalam pasukan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sebelum itu, Speedy Tigers bangkit daripada kekecewaan tewas 4-5 kepada Pakistan dalam perlawanan pertama apabila berpesta gol 6-2 ke atas Kanada pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2024.
Biarpun begitu, skuad negara seperti ketika berdepan Pakistan terlebih dahulu dikejutkan Kanada dijaringkan Devohn Noronha Teixeira pada minit ke-12.
Speedy Tigers, kemudian menyamakan kedudukan seminit selepas itu menerusi Fitri Saari bagi memadam kelebihan gol Kanada.
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kemudian meletakkan Speedy Tigers di depan hasil gol padang minit ke-14.
Azimuddin Syakir Kamaruddin yang melakukan penampilan kali kedua bersama Speedy Tigers membuka akaun gol pertamanya minit ke-19.
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi melebarkan jaringan pada minit ke-31 untuk gol keempat Speedy Tigers.
Kanada kemudian mengurangkan defisit hasil jaringan gol padang Teixeira yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-42.
Speedy Tigers tidak mengalah bangkit membalasnya dengan dua gol dalam tempoh dua minit masing-masing menerusi Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti di minit ke-48.
Penyerang sensasi negara, Faizal Saari kemudian melengkapkan kemenangan Speedy Tigers dengan menewaskan penjaga gol, Zachary Coombs buat kali keenam pada minit ke-49, untuk gol keenam Malaysia.
INFO
Piala Sultan Azlan Shah 2024 Edisi 30
Keputusan
4 MEI
Malaysia 4-5 Pakistan (juara tiga kali)
5 MEI
Malaysia 6-2 Kanada
Jadual
7 MEI
Malaysia lwn New Zealand (juara dua kali)
8 MEI
Malaysia lwn Jepun
10 MEI
Malaysia lwn Korea Selatan (juara tiga kali)
* Semua aksi Malaysia dijadualkan bermula jam 8.30 malam di Stadium Azlan Shah, Ipoh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!