Kerajaan tiada kuasa kawal harga vaksin di klinik, hospital swasta

Alat suntikan vaksin influenza. - Foto Bernama
Alat suntikan vaksin influenza. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga vaksin dibekalkan klinik dan hospital swasta yang pada masa kini dilaporkan melonjak tinggi berikutan penularan wabak influenza A.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ia tertakluk kepada penetapan dibuat oleh syarikat pembekal dan doktor yang membeli vaksin berkenaan.

"Kos vaksin dan kos ubat di klinik dan hospital swasta tidak di bawah kawalan kerajaan.

"Syarikat-syarikat ini pun tidak bersifat monopoli, ada beberapa syarikat dan pihak yang membeli boleh pilih mereka yang menjual vaksin pada harga lebih murah," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurutnya, trend permohonan mendapatkan vaksin di pihak swasta ini dikesan bermula sejak Disember lalu.

"Bagi pihak kerajaan kita berikan vaksin pada mereka yang berisiko tinggi sahaja, jadi tidak banyak digunakan dan setakat ini ia mencukupi.

"Cuma di pihak swasta, jika mereka nak beri vaksin pada orang selain berisiko tinggi, maka mereka perlu beli dan mohon stok baru dan kebiasaannya akan mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan bekalan," katanya.

Terdahulu media melaporkan kebanyakan klinik dan hospital swasta di seluruh negara kehabisan vaksin influenza A berikutan ramai ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi vaksin anti-virus itu kepada anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu menyebabkan harga vaksin yang pada asalnya dijual pada kadar RM50 dan RM70 melambung sehingga RM150.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!