Jaga-jaga hantar anak ke Eropah - Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai yang ingin menghantar anak-anak ke sekolah di Eropah diingatkan supaya berjaga-jaga berikutan masyarakat Barat pada masa kini sudah menolak kelainan antara lelaki dan perempuan untuk mencapai persamaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada pengasingan bilik darjah dan keperluan untuk murid menyatakan jantina mereka apabila ke sekolah.

“Sekarang di United Kingdom (UK) dan beberapa lagi negara Barat, tandas asing untuk murid lelaki dan perempuan tidak perlu disediakan dan mereka diajar menerima persamaan total yang menolak jantina.

“Ini jugalah yang diajar dan dipromosi dalam kalangan penuntut bahawa manusia semua sama,” katanya menerusi hantaran di X pada Isnin.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkembangan tersebut bukan lagi dianggap budaya baharu, namun sudah menjadi normal kerana Barat menghapuskan nilai-nilai hidup dahulu atas nama kebebasan dan kesamaan.

“Kita sudah lihat perkembangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di seluruh dunia. Negara Asia juga sudah terima perkahwinan dan keluarga sejenis.

“Konsep kahwin dan keluarga tidak lagi diakui dan dimuliakan. Ia sudah menjadi budaya biasa iaitu normal, bukan normal baharu.

“Ramai akan anggap ini khayalan penulis (kerana tua) tetapi bagi saya tidak mengapa jika saya dianggap nyanyuk. Apa yang saya dakwa ini bukan akan berlaku, ia sudah berlaku,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Dr Mahathir, persamaan tersebut bermula di zaman revolusi Perancis iaitu rakyat tidak mempunyai hak dan pemerintah di Barat serta Timur berbentuk raja yang berkuasa mutlak menyebabkan berlaku kezaliman.

Beliau berkata, berikutan itu rakyat menuntut hak yang sama serta kebebasan.

“Tuntutan rakyat sangat adil dan bertimbang rasa tetapi ahli pemikir berpendapat memiliki hak persamaan tidak cukup kerana banyak lagi kelainan dan kurangnya kebebasan.

“Maka bermulalah gerakan untuk mengenal pasti perbezaan layanan dalam masyarakat manusia supaya dapat dikurangkan dan tuntutan dibuat supaya apa yang boleh dilakukan lelaki, perempuan juga boleh,” katanya lagi.

Tambah Dr Mahathir, perjuangan telah diadakan supaya perbezaan hak dihapuskan dan masyarakat menerima keadilan dalam bidang sosial, ekonomi serta politik.

“Masih juga perasaan tidak puas hati timbul di Barat, ia sudah sampai ke tahap kenapa ada perbezaan kerana ini menghalang persamaan antara mereka.

“Untuk mencapai persamaan, masyarakat Barat sekarang sudah menolak kelainan antara lelaki dan perempuan. Tidak ada keperluan membezakan dan mencatatkan jantina di kad pengenalan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!