Tuanku Muhriz titah wakil rakyat ketepikan politik sempit

Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan yang ke-15 di sini pada Isnin.
Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan yang ke-15 di sini pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini supaya mengetepikan agenda politik sempit, sebaliknya bekerjasama atas nama perpaduan dan kebajikan rakyat.

Baginda bertitah, dalam mengharungi senario ekonomi yang mencabar masa ini, kestabilan landskap politik amat penting agar segala dasar-dasar yang telah dirangka dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Beri fokus kepada projek-projek dan program yang telah dirangka agar dapat diterjemahkan dan dapat dirasai oleh rakyat.

"Adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli Yang Berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat agar sama-sama bersedia bergerak membina sebuah negeri dan negara yang teguh bersatu, sejahtera dan makmur," titah baginda pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan yang ke-15 di sini pada Isnin.

Turut berkenan berangkat, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Titahnya, semua ADUN sentiasa diperhati dan dunia digital tanpa sempadan hari ini menjadikan segala tindakan serta perbuatan mereka ini akan segera diketahui dan dinilai oleh rakyat.

"Oleh demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, baginda juga berkenan menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta seluruh jentera pentadbiran atas iltizam yang ditunjukkan bagi memastikan lonjakan pembangunan di negeri ini berada di landasan yang tepat.

"Pelbagai ruang dan platform juga telah tersedia untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pandangan masing-masing," titah baginda.

Selain itu baginda bertitah, dari aspek pentadbiran negeri, pemerkasaan tadbir urus, penambahbaikan sistem kerja, dan kepelbagaian medium penyampaian perkhidmatan, merupakan indikator penting ke arah kesejahteraan rakyat.

"Beta berasa sukacita dengan langkah proaktif agensi-agensi kerajaan yang telah mengubah pendekatan perkhidmatan dengan kerap melaksanakan kaedah turun padang. Pendekatan ini dapat memudahkan

"Rakyat memperoleh perkhidmatan secara terus dan dapat berinteraksi secara langsung dengan agensi-agensi kerajaan," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!