Selangor laksana Ops Sumber Air
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan Ops Sumber Air bersempena Tahun Baru Cina ini bagi menggelakkan gangguan bekalan air pada musim perayaan.
Exco Alam Sekitar,Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, operasi yang bermula hari ini sehingga 31 Januari itu juga akan melibatkan pemantauan 24 jam daripada agensi-agensi berkaitan.
Loy Sian berkata, operasi secara bersepadu itu tertumpu di Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Langat dalam usaha bagi memastikan pemantauan yang rapi dan berkesan.
"Kita tumpu di dua lokasi ini kerana kedua-dua lembangan ini membekalkan 90 peratus sumber air kepada penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.
"Jadi bagi menggelakkan gangguan pada musim perayaan ini, kita memberi tumpuan kepada dua kawasan tersebut,"katanya pada sidang media yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini.
Difahamkan, antara agensi yang terlibat dengan Ops Sumber Air itu adalah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain berkaitan.
Selain itu, LUAS selaku Urusetia Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor juga akan mengetuai ops berkenaan dan menyelaras tindakan bersama agensi terlibat.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, operasi tersebut juga tidak hanya dilaksanakan menjelang sambutan Tahun Baru Cina sahaja namun turut dijalankan pada musim perayaan lain di negara ini.
"Langkah ini adalah bagi memastikan tiada pengguna yang terjejas dan terbeban dengan gangguan bekalan air pada setiap kali menjelang musim perayaan,"katanya.
Dalam pada itu, Loy Sian turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab agar tidak melakukan pembuangan sisa larangan secara sesuka hati.
Tambah beliau, Kerajaan Selangor serius dalam menangani permasalahan ini dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi melakukan pendakwaan.
"Kita serius dalam menangani perkara ini dan disebabkan itu, seramai 200 orang kakitangan daripada agensi berkaitan akan terlibat dalam operasi ini.
"Malah, kerajaan negeri juga akan melaksanakan operasi secara berkala pada hari-hari biasa selepas ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan membuang sisa terlarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!