Haramkan syarikat subahat Israel sertai NATSEC Asia di KL - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak kerajaan supaya mengharamkan penglibatan dua syarikat yang bersubahat dengan Israel, Lockheed Martin dan BAE daripada menyertai dan menjadi penaja platinum Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur yang bermula Isnin.

Ketua Biro Antarabangsa Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dua syarikat tersebut membekal senjata dan peralatan kepada Israel yang sedang melakukan genosid ke atas Palestin, terutamanya di Gaza.

“Lockheed Martin mengeluarkan contohnya jet pejuang F-35. BAE pula membekalkan antara lain peralatan untuk jet tersebut. Ini antara senjata yang digunakan Israel untuk mengebom dan membunuh berpuluh ribu rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Bersatu kesal bagaimana kedua-dua syarikat ini boleh terlibat dalam program anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di aplikasi X pada Isnin.

Saifuddin yang juga bekas Menteri Luar menambah, keterlibatan kedua-dua syarikat tersebut bertentangan dengan pendirian tegas negara dan rakyat Malaysia selama ini yang menyokong dan bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, pameran berkenaan juga dikhuatiri akan menjadi satu percubaan untuk menormalkan hubungan dengan Zionis.

“Sementara Kementerian Luar Negeri masih belum menarik balik kenyataan Timbalan Menterinya di Dewan Rakyat pada Mac lalu yang membayangkan kerajaan ini mungkin mengiktiraf Israel dengan alasannya yang lemah, maka adalah dibimbangi bahawa pameran ini menjadi medan halus percubaan untuk menormalisasi hubungan dengan Israel.

“Justeru, kerajaan mesti mengharamkan penglibatan syarikat-syarikat tersebut,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini dilaporkan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2024 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) akan mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara serta laut.

Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini membawa tema 'Building Resilient Nations For The Next Generation' berkenaan disertai lebih 1,200 syarikat dari 45 negara.

Acara tersebut turut menjadi tempat pertemuan utama bagi pengeluar, pembekal, agensi dan organisasi bertukar pendapat dan membina kesefahaman serta kerjasama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!