Sungai Balak tidak sesuai bagi aktiviti mandi-manda - Penduduk

Sungai Balak meragut nyawa tiga beranak dalam kejadian lemas pada Ahad. Gambar kecil: Suee Ann, Musliman
Sungai Balak meragut nyawa tiga beranak dalam kejadian lemas pada Ahad. Gambar kecil: Suee Ann, Musliman
A
A
A

HULU SELANGOR - Lokasi Sungai Balak, Batang Kali yang telah meragut nyawa tiga beranak pada Ahad tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda susulan faktor kedalaman air dan arus deras di situ.

Seorang penduduk yang ditemui berkata, walaupun lokasinya cantik namun mereka tidak berani mengambil risiko beriadah di kawasan terbabit.

Menurutnya, pengunjung yang datang ke situ pada cuti minggu kebanyakan terdiri orang luar yang tidak tahu akan bahaya di sungai berkenaan.

"Kawasan cantik tapi kami penduduk tak mandi di sana kerana keadaan air deras dan dalam terutama pada waktu hujan.

"Kejadian lemas bukan pertama kali berlalu sebaliknya pernah dilaporkan beberapa kali sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, tiga beranak lemas ketika bermandi-manda di kawasan berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila anak perempuan yang berusia sembilan tahun tergelincir ke dalam sungai sebelum bapanya, Arif Fadzil Abdul Saleh, 43, terjun untuk menyelamatkan anaknya.

Tanpa disedari, anak lelakinya yang berusia enam tahun turut terjun ke dalam sungai menyebabkan ketiga-tiga mereka mati lemas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ong Suee Ann, 55, berkata, kawasan sepanjang jalan Batang Kali- Genting Highlands itu menjadi tumpuan aktiviti riadah dan perkelahan disebabkan terdapat sungai serta inap desa.

"Kebiasaan lokasi ini menjadi tumpuan beriadah pada hujung minggu. Kalau hari hujan saya akan minta mereka naik kerana arus deras dan kemungkinan berlaku kepala air," katanya.

Seorang lagi penduduk, Musliman Ismail, 35, berkata, banyak sungai di situ yang ada antaranya ditutup untuk aktiviti mandi kerana terdapat pusaran air.

"Mungkin orang luar tak tahu tapi penduduk di sini tak berani mandi, saya dah lama tinggal di sini pun tidak pernah ke sana walaupun tahu tempatnya.

"Kalau boleh minta pihak berkuasa tempatan untuk ambil langkah waspada melalui papan tanda larangan dan larangan mandi-manda ketika musim tengkujuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!