Projek Air: Pulau Pinang alu-alukan pengumuman PM

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengalu-alukan perkembangan terbaharu Projek Air Perak-Pulau Pinang yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penyaluran bekalan air bagi fasa pertama Projek Air Perak-Pulau Pinang tersebut akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan juga Sungai Bakap.

Menurutnya, secara keseluruhan, pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang amat penting kerana ia bukan saja akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah, keperluan 32,993 akaun pengguna di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas akan lebih terjamin.

"Ini termasuk pusat-pusat pembangunan sedia ada, dalam proses serta bakal diwujudkan kelak.

"Justeru, berasaskan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP yang tidak pernah berbelah bahagi untuk memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat Pulau Pinang, adalah diharapkan projek yang telah tertangguh selama 13 tahun ini akan dapat direalisasikan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah bersetuju untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembekalan itu akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian sehingga ke kawasan Seberang Perai.

Menurutnya, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!