Geng bertopeng muncul lagi, kali ini agih telur ayam percuma
SHAH ALAM - Sekumpulan individu dengan imej bertopeng sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila mengagihkan telur ayam secara percuma di sekitar Masjid As-Salam Puchong Perdana.
Geng yang tidak mendedahkan identiti sebenar mereka itu dan hanya dikenali sebagai XYZMission sebelum ini telah mencuri perhatian apabila menyedekahkan ayam segar kepada orang ramai berhampiran Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian video XYZMission di laman TikTok mereka, orang ramai dilihat mengerumuni geng bertopeng itu untuk mendapatkan sepapan telur secara percuma.
Salah seorang ahli kumpulan tersebut juga dilihat memegang sepanduk kertas tertera 'Telur ayam percuma' dan ‘Kami bukan pempengaruh, kami bukan selebriti, kami bukanlah sesiapa’.
Meninjau ke ruangan komen, netizen didapati memberikan pelbagai reaksi namun ramai yang memuji inisiatif yang dibuat kumpulan terbabit selain berharap usaha sedemikian dilakukan secara berpanjangan.
Di ruangan status TikTok pula, XYZMission berkata, apa yang mereka kongsikan itu adalah rezeki datang daripada ALLAH SWT.
“Kami bukanlah ustaz atau ustazah mahupun pendakwah, namun tiada salahnya kita mengajak orang berbuat baik kerana ia ialah amalan terpuji.
“Malah sesiapa yang melakukannya mendapat pahala berganda, apatah lagi jika kebaikan itu dituruti oleh orang lain,” katanya.
Pada Khamis lalu dilaporkan tindakan geng tersebut mengagihkan ayam percuma kepada orang ramai berhampiran Bukit Bintang, Kuala Lumpur mendapat pujian ramai.
Mereka meletakkan plastik yang berisi ayam dalam sebuah but kereta dan menghulurkan kepada sesiapa saja yang datang untuk mengambilnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!