Lans Koperal maut kemalangan
SERDANG - Seorang anggota polis maut kemalangan dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Puchong Taman Tenaga, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi, mangsa berusia 29 tahun berpangkat Lans Koperal yang menaiki motosikal Yamaha Y15 dari arah Puchong telah melanggar sebuah Toyota Vellfire yang memasuki simpang secara tiba-tiba.
Menurutnya, kemalangan menyebabkan anggota terbabit parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati, mangsa dari rumah saudaranya menghala ke Jalan Klang Lama sebelum tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire masuk ke simpang terbabit.
"Mangsa telah terlanggar di bahagian sisi kiri belakang Toyota Vellfire itu menyebabkannya terjatuh dari motosikal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah untuk bedah siasat.
Berikutan itu, pada hari yang sama kira-kira jam 7.30 petang, pemandu Toyota Vellfire itu telah hadir ke balai untuk membuat laporan polis.
Katanya, pemandu terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun kemudian ditahan dan direman sehari untuk disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986.
"Ujian air kencing negatif dadah dan sampel darah pemandu terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!