Malaysia dukung keamanan dunia - PM Anwar

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian dan komitmen Malaysia untuk terus menjadi sebuah negara yang mendukung keamanan serta keselamatan dunia sejagat.

Beliau berkata, Malaysia mahukan keamanan dunia bagi kehidupan lebih selamat serta stabil untuk generasi akan datang.

Untuk itu, kata beliau, komitmen Malaysia terhadap aspek keselamatan diterjemahkan menerusi kerjasama dan usaha sama dengan negara luar ke arah tujuan murni tersebut.

"Saya ingin menegaskan peranan Malaysia sebagai peserta aktif dalam membentuk dunia yang lebih selamat, lebih stabil untuk generasi akan datang.

"Ia termasuk pendekatan holistik Malaysia terhadap cabaran global digariskan oleh advokasi untuk resolusi aman dengan pembangunan mampan.

"Untuk itu, Malaysia berbesar hati untuk menjadi tuan rumah perhimpunan penting ini," katanya ketika berucap merasmikan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Hadir sama Pengerusi DSA Exhibition and Conferences Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Anwar berkata, penganjuran DSA dan NATSEC bukan sahaja sangat penting dalam membuka ruang buat semua pihak bertemu dan bersidang, malah Malaysia menjadi rakan kongsi dalam usaha kolektif untuk menangani tekanan pertahanan dan cabaran berkaitan keselamatan masa kini.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kehadiran peserta yang besar dari pelbagai negara di seluruh dunia membuktikan kesungguhan bersama dengan Malaysia menjadikan dunia yang lebih selamat dan masa depan berdaya tahan.

Menurut beliau, pertemuan dan perbincangan kerjasama erat dalam pelbagai aspek keselamatan pertahanan, ia merupakan satu perkongsian baik yang boleh diterjemahkan demi keselamatan negara.

"Dalam tempoh tiga hari akan datang bagi penganjuran program ini, perkongsian dan pertukaran maklumat mampu menjalin perkongsian yang melampaui sempadan.

"Ini seharusnya merangsang tekad kolektif negara untuk menghadapi dan mengatasi kerumitan pertahanan moden serta landskap keselamatan," ujar beliau.

Beliau berkata, semua peserta yang hadir dapat bersama-sama berkongsi ilmu, percambahan inovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu serta menjalin perkongsian strategik.

Kata beliau, perkara seumpama itu mampu menjadi pemangkin kepada perubahan positif ke arah masa depan yang terjamin untuk dunia dan generasi seterusnya.

"Ia satu panggilan yang jelas untuk meletakkan asas kepada dunia yang lebih baik dan membolehkan generasi mendatang berkembang maju dalam keadaan aman, dilindungi oleh pertahanan yang teguh dan strategik perkongsian yang kita pupuk pada hari ini," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!