Maszlee tinjau peluang buka cawangan universiti di Indonesia
JAKARTA - Kementerian Pendidikan Malaysia meninjau peluang untuk membuka cawangan universiti awamnya di Indonesia, negara yang berpenduduk lebih 260 juta itu.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata program lawatan kerja pertamanya ke Indonesia sejak menerajui kementerian itu, juga adalah bagi meningkatkan lagi kerjasama pendidikan sedia ada antara kedua-dua negara.
"(Dalam lawatan kerja ini) kita akan melihat ruang dan peluang-peluang yang boleh kita tawarkan kepada pendidikan Indonesia.
"(Antaranya) Ruang yang boleh kita terokai untuk membina atau menubuhkan cawangan-cawangan universiti kita di Indonesia," katanya selepas mengadakan lawatan ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, di sini hari ini.
Selain itu, Maszlee berkata beberapa universiti di Indonesia juga menyatakan minat mereka untuk membuka cawangan mereka di Malaysia.
Mazlee dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy pada esok, untuk perbincangan lanjut berhubung misi lawatannya itu.
Pada lawatan kerja dua hari itu, Maszlee juga akan mengadakan lawatan ke Universitas Muhammadiyah Prof Dr Hamka dan Tzu Chi School, selain mengadakan perjumpaan bersama pelajar-pelajar Malaysia.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!