Usah diganggu- gugat status dan kedudukan UiTM - Dira

Dira (gambar kecil) meminta peranan UiTM untuk bumiputera dihormati.
Dira (gambar kecil) meminta peranan UiTM untuk bumiputera dihormati.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menggugat kedudukan dan kestabilan yang dibina sehingga institusi awam tersebut menempa nama di Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, keadaan itu akan turut mengubah silibus pelajaran atau budaya akademik yang telah lama dilaksanakan.

“Mengapa perlu mengganggu UiTM yang sudah berfungsi dengan baik dalam peranannya?

“Usahlah diganggu gugat status dan kedudukan UiTM.

'Hayati dan hormatilah peranan institusi ini untuk bumiputera dan betapa dekatnya ia dengan orang Melayu.

“Sepatutnya kita harus berbangga dengan apa yang dicapai oleh UiTM sambil terus mendukung kepelbagaian pendidikan kita yang lebih luas,” katanya dalam satu hantaran video yang dimuat naik di media sosialnya pada Isnin.

Media melaporkan, pelakon dan model Alicia Amin mempertahankan pendirian bapanya, Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar yang mencadangkan agar kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.

Alicia berkata, Raja Amin sebagai pengamal perubatan cakna tentang kekurangan doktor dan jururawat di pusat kesihatan kerajaan yang menjadi masalah negara sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira Abu Zahar, perjalanan institusi berkenaan bukanlah perkara mudah kerana ia bermula dengan sebuah universiti yang dianggap kelas kedua.

Tambahnya, ia turut dilihat tidak sebaris dengan universiti lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan banyak lagi.

“UiTM telah berjuang untuk membuktikan keunggulannya namun apabila sudah mula dikenali dan dihormati, baru kelihatan seolah-olah ada permintaan untuk membuka pintu kepada mereka selain Melayu atau bumiputera.

“Sedangkan semasa awal digelar institusi, tidak ramai yang memandangnya.

"Adakah ini benar-benar tentang inklusiviti?” soalnya tegas.

Selain itu, tambah Dira, Malaysia melaksanakan dasar meritokrasi dalam kemasukan pelajar ke institusi pendidikan awam sejak 2002.

“Jadi, jangan lupa bahawa Malaysia begitu demokratik dengan keterbukaan institusi pendidikan untuk semua, baik Melayu atau khususnya bukan Melayu boleh memasuki universiti awam dan swasta yang lain,” katanya ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!