Syor tubuh Kelab Rasuah Busters di sekolah
SHAH ALAM - Salah satu cara atau langkah untuk mencegah rasuah dari terus berleluasa adalah dengan memberi kesedaran, pendidikan serta kempen secara menyeluruh dan berkesan dengan melibatkan semua peringkat umur.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, masyarakat sering memberi justifikasi bahawa isu rasuah hanya untuk difahami dan dibincangkan pada peringkat golongan dewasa.
Menurut beliau, sikap sedemikian menyebabkan rakyat Malaysia lambat menerima kefahaman dan penerapan nilai terhadap impak negatif akibat mengamalkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“Kempen membasmi gejala ini mungkin boleh bermula di peringkat sekolah rendah melalui medium rasmi pembelajaran dalam kelas dengan mewujudkan modul khas kefahaman berkaitan isu rasuah.
“Selain itu, boleh diterapkan juga melalui aktiviti kokurikulum dengan memperkenalkan Kelab Rasuah Busters dan melaksanakan program berkala di sekolah yang dapat menarik minat kanak-kanak serta remaja.
“Malah, ibu bapa adalah individu yang paling rapat dengan anak-anak turut memainkan peranan penting dengan memberikan contoh yang baik ketika berada di rumah,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata ketika diminta mengulas mengenai laporan media mengenai kes dua pemuda disyaki ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ayer Keroh, Melaka, atas pertuduhan berasingan memberi dan bersubahat memberi rasuah RM60,000 kepada pegawai kanan polis bagi mengelak dikenakan tindakan pada 2023.
Dalam pada itu, Syahir turut menasihati kepada masyarakat agar tidak membudayakan menerima atau memberi rasuah kerana dibimbangi ia akan menjadi kebiasaan yang diamalkan dalam masyarakat di negara ini.
“Sama-sama kita terus semarakkan kempen antirasuah dengan memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakannya.
“Semoga Malaysia satu hari nanti akan bebas dan sifar rasuah dengan masyarakatnya terdidik serta memiliki jati diri yang tinggi,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!