Manchester United diaibkan 0-4 Crystal Palace
GERGASI England, Manchester United mencatat kekalahan ke-13 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 apabila diaibkan 0-4 oleh Crystal Palace di Stadium Selhurst Park.
The Red Devils kendalian Erik Ten Hag mendominasi penguasaan bola, namun gagal menjelmakan jaringan dalam aksi di selatan London itu.
Sebaliknya angkatan The Eagles diaktifkan Oliver Glasner yang terkenal dengan corak permainan fizikal memecah benteng terakhir pelawat menerusi gol Michael Olise, minit ke-12, m-66, Jean-Philippe Mateta (m-40) dan Tyrick Mitchell (m-58').
United berpeluang menghidupkan cabaran sebelum itu, namun sentuhan Casemiro pada minit ke-52 dibatalkan kerana ofsaid.
Keputusan itu menyaksikan United berada dalam kelompok lapan terbaik, dengan 54 mata selepas mengharungi 35 perlawanan, dengan berbaki tiga aksi - menentang Arsenal (12 Mei), Newcastle United (16 Mei) dan Brighton (19 Mei) sebelum menentang Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley, 25 Mei.
Sementara itu, Crystal Palace pula kekal di tangga 14, dengan 43 mata mengatasi Everton (37 mata) selepas mengharungi 36 perlawanan liga dengan baki perlawanan menentang Wolves (11 Mei) diikuti Aston Villa (19 Mei).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!