[VIDEO] PRK KKB: Calon PH puas hati proses undi awal berjalan lancar
HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao berpuas hati dengan perjalanan proses undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di sini pada Selasa.
Menurut Sock Tao, dengan proses yang lancar itu secara langsung dapat memastikan ramai keluar mengundi.
"Keadaan pengundian awal daripada pemerhatian saya sangat teratur dan berjalan lancar.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota serta semua pihak yang terlibat dalam proses undi awal ini," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses undi awal di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu di sini pada Selasa.
Sock Tao terdahulu tiba Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu kira-kira jam 9.05 pagi diiringi seorang pegawainya.
PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.
DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!