Kes simbah asid: Tindakan melampau, tidak beradab jangan dibiarkan berulang
SHAH ALAM - Tindakan melampau dan tidak beradab pihak yang terlibat menyimbah asid ke pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sepatutnya jangan dibiarkan berulang lagi.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia berikutan persaingan dengan pasukan lawan adalah semata-mata dalam gelanggang.
“Sukan wajar kekal hanya sebagai sukan. Saat melangkah keluar selepas permainan, segala emosi terlebur dan jadilah kita tetap bersaudara.
“Saya tersentak apabila mendapat berita bahawa saudara Faisal telah ditimpa musibah ujian yang berat kelmarin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Media pada Ahad melaporkan, Faisal Halim cedera disimbah asid ketika berada di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya.
Difahamkan kejadian berlaku ketika pemain Selangor FC itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.
Ia mengakibatkan Faisal dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan dilaporkan mengalami kecederaan di muka serta badan.
Tambah Zulkifli, aksi Sang Wira Harimau Malaya itu masih segar dalam ingatan kerana gol yang menakjubkan dijaringkan oleh Faisal semasa perlawanan menentang pasukan pilihan utama kejohanan Korea Selatan pada edisi Piala Asia Qatar 2023.
“Mungkin tidak keterlaluan saya katakan, kelincahan menggelecek dan ketajaman penyudahnya mengingatkan generasi seusia saya dengan almarhum Datuk Mokhtar Dahari,” katanya ringkas.
Pada masa sama, Zulkifli turut mengajak rakyat Malaysia untuk mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Faisal sambil mengirimkan kata-kata semangat kepadanya.
Menurutnya, perjuangan pemain bola sepak itu untuk terus berbakti mengharumkan nama pasukan Harimau Malaya masih panjang.
“Kepada Faisal, setiap apa yang berlaku ditentukan dalam takdir-Nya.
“Saya yakin, ada hikmah yang tersembunyi selama kita bersabar, muhasabah dan reda dengan apa yang berlaku, insyaALLAH. Saya sayang anda semata-mata kerana ALLAH SWT,” ujarnya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!