Mengundi bukan fatwa, tapi arahan parti - Pas
HULU SELANGOR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengingatkan ahli parti itu supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Kuala Kubu Baharu, 11 Mei depan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kewajipan itu sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Pas sejak sekian lama.
"Saya menyeru terutamanya rakan-rakan dari Pas, haram bagi ahli Pas jika tidak keluar mengundi di Kuala Kubu Baharu.
"Bukan satu fatwa, ini adalah penegasan kita, kalau Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebut (mengundi itu) fardu ain, samalah dengan haram kalau kita tak buat.
"Untuk keluar mengundi, pastikan keluarga, rakan (dan) jiran kita undi calon nombor satu, Khairul Azhari Saut," katanya ketika Ceramah Perdana PN di Ampang Pechah, malam Isnin.
Sementara itu ditanya adakah 'haram' yang dimaksudkan akan menimbul interpretasi negatif, Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, perkara tersebut sememangnya ada dalam Perlembagaan parti sekali gus arahan yang wajib dipatuhi.
"(Dalam Pas) Tidak mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan disiplin (dan) ada dalam Perlembagaan. Arahan dan peraturan yang dibuat perlu dipatuhi.
"Itu (terpulang), sebab perkataan haram ada dalam judi haram," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!