Malaysia tambah 10 lagi kontena bantuan ke Gaza

Nik Nazmi (depan, tengah) pada pelancaran misi bantuan oleh MAPIM. Foto FB Nik Nazmi
Nik Nazmi (depan, tengah) pada pelancaran misi bantuan oleh MAPIM. Foto FB Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menambah 10 lagi kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza, Palestin menjadikan keseluruhan kontena yang dihantar sebanyak 110 kontena, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran misi itu di Kaherah, Mesir semalam berkata, kontena itu mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.

"Penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena dengan nilai RM12 juta yang boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Turut hadir pada pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu ialah Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan Sani Araby, Abdul Alim Araby.

Makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita antara yang disumbangkan.
Makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita antara yang disumbangkan.

Penghantaran 100 kontena yang merangkumi 1,358 tan barangan ke Gaza sebelum ini telah dilancarkan Ahmad Zahid di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, Selangor pada 23 Mac lepas.

Pada hantaran itu, Nik Nazmi berkata, hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Mesir termasuk peranan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena Malaysia yang membawa barangan bantuan itu melalui perjalanan yang lancar.

Beliau juga menegaskan Malaysia akan kekal lantang dan "punching above our weight" dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

Artikel Berkaitan:

"Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon tetapi tidak tegas isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!