PRK KKB: SPR tidak terima aduan sogokan pengundi, salah guna jentera kerajaan

Abdul Ghani ketika sidang media selepas memantau proses mengundi awal pada PRK Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia PDRM pada Selasa. Foto Bernama
Abdul Ghani ketika sidang media selepas memantau proses mengundi awal pada PRK Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia PDRM pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima aduan rasmi mengenai wujud sogokan kepada pengundi dan salah guna jentera kerajaan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, kempen berlangsung dalam keadaan baik, hormat-menghormati dan tidak menyalahi undang-undang ditetapkan.

Oleh yang demikian beliau berharap situasi itu dapat dikekalkan dalam tempoh kempen berbaki tiga hari lagi sebelum mengundi Sabtu ini.

"Alhamdulillah setakat hari ini, saya ada berborak dengan OCPD (Ketua Polis Daerah Hulu Selangor), hanya satu kes yang berkempen menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang itu (kes) sudah selesai.

"Yang lain-lain, Alhamdulillah tiada kes-kes yang menyalahi peraturan. Kita tidak terima apa-apa (aduan rasmi), maknanya kempen PRK di Kuala Kubu Baharu ini dilakukan secara baik dan amat menggalakkan.

"Paling penting kita galakkan semua pengundi keluar mengundi," katanya ketika ditemui selepas selesai meninjau proses undi awal di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu pada Selasa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjalanan proses pengundian awal di dua lokasi terlibat, Abdul Ghani memaklumkan, peratusan keluar mengundi melibatkan anggota dan pegawai keselamatan begitu memberangsangkan.

"Saya dan rombongan (SPR) hari ini datang melawat di kem tentera dan maktab polis. Alhamdulillah peratusan keluar mengundi agak baik.

Artikel Berkaitan:

"Sejam pertama (keluar undi) 24 peratus, jam kedua 55 peratus dan jam ketiga 73 peratus. Nampak satu prestasi menggalakkan dan saya harap undi awal dapat catat peratusan tinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!