Malaysia mungkin buat perolehan tambahan 18 pesawat FA-50M - KAI
KUALA LUMPUR - Korea Aerospace Industries (KAI) yakin Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membuat perolehan tambahan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M, menjadikan keseluruhan pesawat terbabit yang akan dimiliki oleh pasukan itu berjumlah 36 unit.
Pengurus Wilayah KAI untuk Asia Park Shangshin menjangkakan rundingan bagi perolehan kumpulan kedua 18 pesawat pejuang ringan FA-50M antara gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu dan Malaysia bermula pada separuh kedua 2026 dan selesai menjelang awal 2027.
"Saya rasa berkemungkinan besar (untuk Malaysia membuat perolehan tambahan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M), kerana kami (KAI) berada di landasan tepat dalam menyiapkan kumpulan pertama (18 pesawat pejuang ringan FA-50M) dan saya yakin pelanggan kami (Malaysia) sangat berpuas hati dengan kontrak dilaksanakan.
"Sekiranya TUDM mahukan platform yang sama seperti kumpulan pertama, jadi saya rasa perolehan kumpulan kedua hanyalah kesinambungan daripada kumpulan pertama,” katanya kepada Bernama di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Pada Mei 2023, Malaysia dan KAI menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion untuk perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20, yang kemudian dinamakan sebagai FA-50M (Malaysia).
Menurut pegawai kanan KAI, TUDM akan menerima varian pesawat pejuang ringan dengan keupayaan lebih tinggi.Varian FA-50M yang dibeli Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi berbanding FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF) dan negara lain termasuk di rantau ini iaitu Thailand, Filipina dan Indonesia.
Pada masa ini, hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk varian terkini "Fighting Eagle" ini.
Ditanya tentang tarikh penghantaran 18 pesawat pejuang ringan FA-50M berkenaan, Park berkata pihak TUDM akan menerimanya secara berperingkat bermula pada Oktober 2026 hingga Jun 2027.
Beliau berkata varian FA-50 Malaysia akan memiliki keupayaan sama dengan FA-50 yang dibeli oleh Poland, dengan kedua-dua pasukan tentera udara berkenaan mengoperasikan varian FA-50 yang dilengkapi dengan radar jujukan imbasan elektronik aktif (AESA) serta alat mengenal pasti sasaran termaju "Sniper”.
Selain radar AESA "PhantomStrike” yang dibangunkan oleh RTX itu (sebelum ini dikenali sebagai Raytheon) dan Sniper ATP, pesawat pejuang ringan FA-50M akan diperoleh Malaysia itu juga dilengkapi prob untuk pengisian bahan api di udara "Chobham” bagi misi jarak jauh.Varian terkini FA-50 juga berkeupayaan untuk membawa bom berpandu tepat dan lain-lain senjata canggih.
Park turut ditanya tentang projek berprofil tinggi lain oleh KAI, iaitu KF-21 "Boramae” pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu, serta sama ada ia mampu menjadi pesawat ideal untuk TUDM, yang dirancang bagi menggantikan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) F/A-18D Hornet dan 18 Sukhoi Su-30MKM masing-masing pada 2035 dan 2040.
"Sudah tentu, saya percaya ia (Borame) akan menjadi penyelesaian optimum,” katanya sambil menambah KAI belum memulakan perbincangan rasmi dengan kerajaan Malaysia berkaitan KF-21.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 terbabit dianggar melibatkan kos AS$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 40 pesawat KF-21 Block 1 yang direka bentuk untuk misi udara-ke-udara pada 2026, disusuli 80 pesawat Block 2 untuk misi udara-ke-darat pada fasa berikutnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu turut dilaporkan berhasrat untuk memulakan eksport pesawat pejuang KF-21 "Borame” kepada pelanggan berminat selepas memenuhi keperluan ROKAF. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!