Kenaikan gaji beri kesan langsung kepada warga pendidik - Fadhlina

Fadhlina ketika mengadakan lawatan ke tapak pameran Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil di Perpustakaan Raja Ahsman Shah USAS.
Fadhlina ketika mengadakan lawatan ke tapak pameran Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil di Perpustakaan Raja Ahsman Shah USAS.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri memberi kesan langsung kepada warga pendidik, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, kenaikan itu memberi impak terhadap keyakinan dan motivasi guru-guru yang merupakan antara kumpulan terbesar kalangan penjawat awam.

"Bagi pihak KPM (Kementerian Pendidikan), kita ucapkan terima kasih atas keprihatinan menaikkan gaji penawat awam yang mana sebahagian besarnya adalah guru.

"Ini juga bukti komitmen kerajaan Madani mengotakan keperluan untuk membela dan memastikan kebajikan penjawat awam menjadi keutamaan," katanya selepas merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin bin Abu Hanipah; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Fadhlina berkata, KPM juga pastinya akan membuat penelitian lanjut terhadap pelaksanaan peningkatan gaji penjawat awam tersebut yang dijadualkan mulai Disember tahun ini.

"Pastinya segala proses dan perancangan itu kita teliti sebab ia juga melibatkan guru-guru," katanya.

Sementara itu, usaha mewujudkan Sudut Pemikiran Dato' Dr Siddiq Fadzil yang merupakan ayah kepada Fadhlina itu bertujuan untuk mengenang jasa tokoh agamawan yang tidak asing lagi dalam kalangan umat Islam di Malaysia khususnya di Perak.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham yang meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 lalu pernah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bermula tahun 1992 sehingga 2000.

Sumbangan Allahyarham dalam aspek pembangunan ilmu dan pemikiran Islam dapat dilihat dalam beberapa bidang antaranya bidang teori pendidikan Islam, pemikiran politik Islam, ilmu ketamadunan, tafsir al-Quran, pengurusan Islam dan sastera Islam.

Dalam pada itu, Fadhlina dalam ucapannya berkata, negara tidak pernah ketandusan kaum intelektual.

Katanya, dalam kegalauan pemikiran dan kekacauan sosial pasca Covid-19, suntikan pemikiran dan fikrah para pemikir seperti Siddiq Fadzil adalah sangat dituntut.

"Saya mengharapkan seminar ini akan beroleh manfaat, bahan-bahan yang diwacanakan mesti digarap dan diresolusikan dan garis-garis saranannya mestilah ditanggapi dengan serius," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!