Lebih RM1 juta sumbangan bagi bakal haji muassasah di WP- Dr Zaliha
PUTRAJAYA - Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memperuntukkan sumbangan wang tunai berjumlah RM1.102 juta kepada 2,204 bakal jemaah haji di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui inisiatif Ihsan@PUJI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, setiap jemaah haji akan menerima RM500 sebagai persiapan mereka untuk mengerjakan ibadah berkenaan.
"Sumbangan wang tunai itu akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) dan kemudiannya akan diagihkan kepada bakal jemaah haji muassasah di wilayah masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dr Zaliha berkata, sumbangan seumpama itu merupakan kali pertama diberikan oleh JWP dan jabatan berkenaan akan terus komited untuk memberi fokus dalam menyokong keperluan rakyat, termasuk dalam aspek keagamaan dan ibadah.
"Saya berharap agar sumbangan ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah dan didoakan semoga dikurniakan haji yang mabrur," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!