Tilam, sofa punca banjir kilat di Sungai Siput
SUNGAI SIPUT - Perbuatan membuang pelbagai jenis sampah ke dalam longkang dan kolam tadahan air menjadi punca utama kejadian banjir kilat yang berlaku di sekitar Taman Lintang Makmur, Taman Tun Sambanthan dan Taman Muhibbah Jaya di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee berkata, tindakan segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab membuang sisa domestik, tilam dan sofa telah menjejaskan lebih 300 rumah penduduk terlibat.
Menurut beliau, aduan banjir kilat yang sering diterima sejak beberapa tahun lalu mula pulih berikutan pelaksanaan Projek Kolam Takungan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang telah siap 90 peratus.
"Kita dapat lihat kawasan terjejas banjir mula beransur baik apabila projek MSMA ini dilaksanakan di Sungai Bemban, Sungai Sintang, Sungai Nyamuk dan Sungai Buloh berhampiran.
"Dalam tempoh lima bulan ini berlaku dua kali banjir kilat namun, setelah diperiksa didapati banjir berlaku apabila longkang-longkang ini mula tersumbat dengan sisa sampah.
"Pembersihan longkang yang dijalankan berjaya mengutip lebih 1.5 tan sampah. Itu baru satu tempat, tidak boleh dibayangkan jika melibatkan kawasan lain," katanya ketika meninjau rumah pam di Taman Lintang Makmur di sini pada Selasa.
Sze Yee yang juga Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri berkata, pelbagai usaha dijalankan termasuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan peruntukan lebih RM1.1 juta bagi mengatasi banjir kilat itu.
"Peruntukkan untuk menaik taraf longkang dan selenggara kolam takungan dikawasan terlibat telah disalurkan ke Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).
"Tahun lalu, peruntukkan sebanyak RM1.65 juta juga disalurkan untuk menyelenggara kolam tadahan di Taman Muhibbah Jaya, Kampung Muhibbah Rimba Panjang, Taman Lintang Makmur dan sebagainya.
"Selain itu, peruntukan dari Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah lebih RM800,000 diterima untuk membaik pulih longkang, cerun dan jalan," katanya.
Tambah beliau, hanya kesedaran daripada masyarakat saja dapat membendung kejadian banjir kilat itu.
"Walaupun kita memohon peruntukkan menambah baik infrastruktur dan sebagainya, ia menjadi pembaziran kerana sikap manusia yang terus membuang sampah ke dalam longkang dan sungai.
"Bagi mengatasi masalah itu, saya meminta Ahli Majlis bawa isu ke MPKK dengan menguatkuasakan undang-undang kecil bagi kesalahan membuang sampah serta menaikkan jumlah denda kepada mereka yang tidak bertanggungnjawab," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!