[VIDEO] Hail Amir sahabat sejati, pernah tolak bayaran persembahan - Yusof Haslam
PENGARAH dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, 70, mengakui pernah dibantu oleh Hail Amir selepas persembahan yang dianjurkannya tidak laku.
“Saya panggil dia nyanyi, bila lihat persembahan itu rugi, (Hail) tak mahu dibayar, tapi saya bayar separuh juga bayarannya.
“Separuh abad saya kenal dia, dia adalah sahabat yang sejati, rendah diri dan senang berunding, semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada Selasa.
Menurut Yusof, Allahyarham pernah berlakon dalam filem Jiwa Remaja pada tahun 1975 bersama Uji Rashid.
“Waktu itu umur saya 21 manakala arwah 28 tahun, kalau panggil berlakon dia akan letakkan bayaran paling rendah dan dia juga selalu pesan satu hari nanti kita perlu terima hakikat akan dibayar sikit kerana zamannya dah berakhir,” katanya
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave berkata sahabatnya itu suka berjenaka dan tidak sombong.
“Enam tahun lalu dia pernah jatuh sakit, yayasan bantu urus masukkan ke IJN dan beberapa tahun kebelakangan ini dia memang tak berapa sihat.
“Dulu kalau buat persembahan, selalu saya tumpang kereta dia, cuma baru-baru dia masuk hospital tak ramai yang tahu kerana tak mahu diganggu,” katanya
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, Allahyarham sentiasa dalam perhatian pihak seniman.
“Pada hari ini kita turut bantu memberikan kemudahan untuk pengebumian arwah dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!