Acara permotoran antarabangsa berpotensi jana sektor pelancongan

Mohd Salleh (tengah) bergambar bersama penganjur, penaja dan sebahagian peserta Kedah International Bike Week (KDIBW 2024).
Mohd Salleh (tengah) bergambar bersama penganjur, penaja dan sebahagian peserta Kedah International Bike Week (KDIBW 2024).
A
A
A

ALOR SETAR - Acara permotoran bertaraf antarabangsa, Kedah International Bike Week (KDIBW 2024) berpotensi membantu memacu industri pelancongan di Kedah.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, KDIBW 2024 bukan sahaja bakal merancakkan industri pelancongan malah menjana ekonomi setempat dengan sasaran 40,500 peserta termasuk dari luar negara.

Menurutnya, acara pembuka tirai Tahun Melawat Kedah 2025 itu akan diadakan pada 6 hingga 8 Disember depan di Taman Jubli Emas, Suka Menanti.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang penganjuran yang dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat seperti KDIBW 2024, tambahan pula ia merupakan program bertaraf antarabangsa.

“Kita sentiasa cakna terhadap sebarang usaha yang boleh merancakkan sektor pelancongan terutama menjelang Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran simbolik Kedah International Bike Week 2024 di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah, Zafir Annuar Ghazali serta Presiden KDIBW 2024, Datuk Mohammad Haromen Zaki Muhammad Hashim.

Mohd Salleh berkata, penganjuran KDIBW 2024 juga dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri selain membuka peluang niaga kepada pengusaha sedia ada, seterusnya menggalakkan pertumbuhan pengusaha baharu.

“Ini merupakan penganjuran kedua, sebelum ini diadakan pada 2019 dengan kehadiran lebih 30,000 penunggang motosikal dari seluruh negeri dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Kita menyokong program seumpama kerana ia beri kesan positif terhadap sektor pelancongan, Kedah bakal dikunjungi puluhan ribu penunggang motosikal dan peminat dunia permotoran.

“Sudah tentu ia beri impak positif terhadap sektor pelancongan. Inilah masa untuk kerajaan negeri sama-sama mempromosikan produk-produk pelancongan sedia ada di negeri ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memeriahkan Tahun Melawat Kedah 2025 selagi penganjurannya membawa manfaat, tidak menyalahi syarak dan bersesuaian dengan norma masyarakat negeri ini.

“Penganjur juga diingatkan agar mematuhi garis panduan ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi mengelak salah faham mahupun menimbulkan persepsi negatif,” katanya.

“Aktiviti permotoran bukan sekadar riadah santai namun mempunyai agenda tersendiri termasuk pelancongan. Dari segi penjanaan ekonomi, dengan puluhan ribu pengunjung kelak pastinya memberi limpahan ekonomi dalam pelbagai segmen yang ada.

“Antaranya sektor perhotelan, rumah inap desa, restoran, destinasi pelancongan dan ia merupakan satu platform untuk kita perkenalkan produk-produk pelancongan sedia ada. Saya harapkan penganjur turut gunakan platform ini untuk sama-sama mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025,” ujarnya.

Mohd Salleh jelaskan, antara negara yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Singapura dan Brunei, dan ini akan menjadikan negeri ini tumpuan penunggang dan peminat dunia permotoran dalam mahupun luar negara.

“Penganjuran sama juga akan diadakan pada Disember 2025 pada tarikh sama. Ini satu usaha yang baik. Diharap penganjuran ini diteruskan pada masa akan datang dengan menjadikan Kedah sebagai lokasi aktiviti permotoran,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Kedah menjanjikan pengalaman unik kepada penunggang motosikal dan peminat permotoran untuk merasai kemesraan rakyat Kedah, mengenali kekayaan sejarah negeri, meneroka keindahan semula jadi serta menikmati keindahan pelbagai khazanah yang ada.

"Saya juga berharap program ini berupaya menjadikan Kedah sebagai destinasi utama penunggang motosikal dan peminat permotoran, bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga dari rantau ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!