Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama buka ruang kerjasama

Mohd Na'im (dua, kiri) menyantuni tetamu pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 di Petaling Jaya pada Isnin. Foto Bernama
Mohd Na'im (dua, kiri) menyantuni tetamu pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 di Petaling Jaya pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 hari ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas ke arah kerjasama dan persefahaman lebih baik dalam kalangan pemimpin agama dan pengikutnya pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, persidangan itu juga dapat menjadi asas perpaduan yang lebih harmoni dan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, etnik dan budaya.

"Permuafakatan dalam kalangan pemimpin agama dalam menangani tindakan ekstremis dan radikal, serta menolak segala bentuk penganiayaan, penindasan, keganasan dan peperangan, akan mewujudkan keselamatan dan keamanan dalam masyarakat.

"Diharapkan persidangan ini akan mencapai objektif,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di sini pada Isnin, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Na'im berkata, penyertaan pemimpin agama, ahli politik dan ahli akademik dari seluruh dunia menunjukkan kepelbagaian agama bukanlah penghalang untuk duduk bersama bagi merealisasikan perpaduan dan keharmonian dalam komuniti.

"Objektif yang digariskan melalui tema 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian' adalah untuk menggerakkan usaha pemimpin agama dan politik menonjolkan peranan penting agama dalam menggalakkan keamanan dan menyelesaikan konflik.

"Serta untuk mengukuhkan solidariti dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat dan budaya berbeza sambil menangani cabaran dan memerangi keganasan, sikap tidak bertoleransi dan diskriminasi kaum," katanya.

Menurut Mohd Na'im, semasa persidangan yang dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Dunia Muslim itu, semua peserta meneroka kaedah kerjasama yang membuahkan hasil untuk menggalakkan dialog peradaban serta cinta dan keamanan dalam kalangan masyarakat di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

"Persidangan juga akan mengetengahkan aspek praktikal Piagam Makkah yang bersejarah melalui inisiatif yang dapat menyumbang kepada pendidikan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan.

"Persidangan turut menekankan nilai-nilai agama yang mulia dan prinsip kemanusiaan yang dikongsi bertujuan mencapai kewarganegaraan yang bermaklumat," katanya.

Turut hadir pada acara itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Mariano Assanami Sabino Lopes serta Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Bernama


_____________________________________________________________________________________________________

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama usaha tangai pertembungan budaya, tamadun

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL), Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa menyifatkan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Malaysia, sebagai usaha penting dalam menangani pertembungan budaya dan tamadun.

Beliau berkata, persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim dengan kerjasama Liga Dunia Muslim itu juga, bagi memupuk keharmonian dalam kalangan penganut agama yang berbeza serta mendepani ideologi ekstremis.

"Oleh itu, persidangan global ini mempunyai kepentingan yang sangat besar, dan kami secara kolektif berhasrat untuk melihat kesan ketara (persidangan ini) akan tercapai,” katanya ketika berucap pada persidangan itu, di sini pada Selasa.

Menyentuh mengenai peranan MWL, Mohammad berkata, pertubuhan itu telah memulakan langkah penting untuk menggalakkan keharmonian hubungan dalam kalangan penganut agama yang berbeza, dan seterusnya membina jambatan antara tamadun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa (kiri) beramah mesra dengan Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad Al-Malibari pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024, pada Selasa. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa (kiri) beramah mesra dengan Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad Al-Malibari pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024, pada Selasa. Foto Bernama

"Antara inisiatif kami dalam konteks ini ialah persidangan Membina Jambatan antara Timur dan Barat, yang kami anjurkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, dengan sokongan Sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Perhimpunan antarabangsa ini dihadiri oleh para pemimpin dalam kalangan kepimpinan agama, politik, intelektual, akademik dan media,” katanya.

Mohammad berkata, inisiatif itu, menandakan langkah awal MWL melalui pelbagai inisiatif dan program global, untuk memupuk persahabatan dan kerjasama antara negara dan rakyat, dan membincangkan teori dan pemikiran mengenai pertembungan tamadun.

"Nabi Muhammad SAW sebagai contoh, hidup secara aman bersama-sama dengan pelbagai agama dan telah berjaya merangka salah satu piagam Islam yang paling penting, iaitu Piagam Madinah yang diasaskan dengan pelbagai komuniti agama.

"Piagam ini merupakan dokumen pertama dalam sejarah, yang meletakkan asas bagi persaudaraan manusia, kehidupan bersama masyarakat, dan saling hormat menghormati sesama manusia,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!