Isu tunggakan cetakan MyKid selesai Julai ini - JPN
ALOR GAJAH - Isu cetakan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik Covid-19 lalu dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini secara berperingkat di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias berkata, ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu.
"Buat masa ini kita masih lagi menunggu bekalan kad MyKid yang mana kita telah memberi surat setuju terima dari pembekal pada April lalu dan sesi pengujian telah dilakukan.
"Untuk itu kita harap ibu bapa bersabar dan apabila sampai masanya, permohonan yang telah dibuat akan dicetak dan ibu bapa boleh mengambilnya selepas diberitahu kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penamaan semula pejabat JPN Cawangan Bandar Alor Gajah kepada JPN Daerah Alor Gajah di sini pada Selasa ini yang turut dihadiri Pengarah Pendaftaran Negeri Melaka Norazle Sulaiman.
Tambah beliau pihaknya sedang melakukan yang terbaik namun ia masih tertakluk kepada berapa cepat kad tersebut dapat dibekalkan kepada JPN memandangkan tunggakan memproses kad tersebut turut melibatkan permohonan baharu yang diterima setiap hari.
Pada Disember lepas, media melaporkan JPN sedang mencetak 160,000 MyKid yang tertunggak sejak Oktober 2023 dan akan diserahkan secara berperingkat sebaik sahaja proses cetakan selesai dan memberi jaminan isu MyKid tidak akan berulang pada tahun ini memandangkan JPN sedang melaksanakan proses perolehan bekalan sebanyak tiga juta MyKid bagi menampung keperluan.
Dalam pada itu, beliau berkata JPN Melaka akan menggerakkan sebuah van bagi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dengan memberi keutamaan kepada tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang mana lokasinya berada lebih 20 kilometer dari pejabat JPN yang terdekat.
"Van Mekar JPN itu merupakan inisiatif turun padang bagi memberi perkhidmatan menerima dan memproses permohonan kad pengenalan atau MyKad kali pertama usia 12 tahun, gantian kad pengenalan rosak, hilang atau bertukar alamat serta mengeluarkan sijil kelahiran dan kematian dalam memastikan tiada keciciran dokumen pengenalan diri yang sah bagi setiap penduduk Malaysia yang layak," katanya.
Katanya, Van Mekar JPN tersebut akan digerakkan ke lokasi tumpuan orang ramai di tujuh DUN tersebut iaitu Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Ayer Limau, Taboh Naning, Asahan, Merlimau dan Sungai Rambai pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat secara berjadual, termasuk memberi perkhidmatan tambahan di dalam program rasmi yang lain. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!