[VIDEO] Pokok tumbang berusia lebih 50 tahun
KUALA LUMPUR - Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada Selasa dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali.
“Pokok yang tumbang hari ini kita kesan merupakan pokok lama berusia lebih 50 tahun yang berada di bawah pemantauan pihak swasta.
"Kita juga telah mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, DBKL juga akan melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok-pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam.
Katanya, pemantauan akan dilakukan bagi mengesan berapa banyak pokok tua yang ada di ibu negara.
"Data berapa banyak pokok tua kita tidak ada buat masa ini, tetapi pemantauan akan dilakukan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan masih dilakukan berhubung pemberian pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat.
“DBKL kebiasaan akan ambil tindakan dalam mengenal pasti profil mangsa dan sebagainya," katanya.
Tambah Dr Zaliha, kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian dijangka selesai selewat-lewatnya malam ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.
Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!