Masa depan Faisal cetus tanda tanya
PELUANG pemain negara, Faisal Halim yang mengalami kecederaan teruk tahap empat akibat simbahan asid sulfurik Ahad lalu untuk kembali ke padang selepas menjalani proses pembedahan dan pemulihan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Penganalisis sukan, Zakaria Rahim berkata, sebagai ahli sukan bertaraf antarabangsa, peluang Faisal untuk kembali seperti sebelum kejadian memerlukan terlalu banyak usaha dan masa, pengorbanan serta disiplin yang tinggi.
Beliau berkata, skuad Harimau Malaya bakal kehilangan khidmat pemain berusia 26 tahun itu untuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Jun depan.
Malah tambah beliau, buat masa ini boleh dianggap karier bola sepak profesional dan antarabangsa Faisal telah berakhir kecuali berlaku satu keajaiban atas kehendak ALLAH SWT.
“Saya membuat kesimpulan itu selepas membaca laporan-laporan akhbar, menelaah dan membuat kajian mengenai melecur tahap empat dan merujuk kepada beberapa doktor termasuk pelajar perubatan, pensyarah perubatan dan pakar.
“Pagi ini (Selasa) saya juga ada berbincang dengan sahabat seorang pakar di hospital di mana Faisal sedang dirawat,” katanya.
Zakaria menjelaskan melecur tahap empat secara teorinya adalah serius dan asid itu berisiko masuk ke dalam badan yang boleh menjejaskan otot dan sistem saraf.
Menurutnya, ia bermaksud otot yang dibina bertahun-tahun untuk menjadi pemain akan menjadi seperti orang tidak pernah bersukan, manakala sistem saraf pula menyebabkan bahagian yang cedera itu hilang rasa deria.
“Paling dikhuatiri ialah asid yang disimbah itu akan menjalar merosakkan buah pinggangnya. Harap dijauhkan. Ini kerana semakin hari, ia semakin jadi serius dan ganas,” katanya.
Menurut Zakaria, moral dan emosi Faisal juga terjejas akibat trauma yang teramat, malah difahamkan dia akan terpaksa menjalani pembedahan plastik, tapi bukan dalam masa terdekat.
“Memang benar, buat masa ini Faisal boleh lupakan bola sepak dan tumpukan untuk kuatkan semangat agar tidak melibatkan nyawa.
“Malah Faisal kena kuat dan berani agar apabila pulih kelak tidak berada dalam kategori OKU (orang kurang upaya) akibat kerosakan sistem saraf.
“Bersamalah kita berdoa agar Faisal kembali bersemangat untuk pulih. Faisal bukan sahaja aset bola sepak Selangor, malah dia juga adalah aset sukan negara,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!