Perihal bergosip
SECARA tiba-tiba saya menerima mesej ini melalui WhatsApp: Antara yang berikut yang manakah pilihan hati: A - Bella Astillah; B - Ruhainies; C - Sophia Albarakbah dan D - Sarah Yasmin.
Mesej itu datang daripada nombor tidak dikenali. Selalunya ada dua sebab kenapa nombor itu saya tidak simpan.
Pertama, saya tidak kenal dan kalau kenal pun saya tidak pernah berurusan dengannya menerusi telefon. Kedua, pemilik nombor itu tidak berhutang dengan saya kerana setiap yang berhutang nombornya saya simpan rapi.
Saya tidak membalas mesej itu. Bukan saya tiada jawapan, ada dan jawapannya bukan satu tetapi dua.
Namun, kerana nombor itu saya tak kenal, lebih baik saya abaikan. Mana tahu mesej itu dihantar oleh Datin saya sendiri, bertujuan menduga apa yang ada di hati saya.
Tetapi ada kemungkinan soalan itu dihantar secara rambang, sekadar untuk memancing jawapan dan seterusnya membuka tajuk perbualan. Kalau saya berikan jawapan, tentu saya akan ditanya kenapa pilih yang itu bukannya yang lain.
Disebabkan nama-nama di atas mempunyai kaitan dengan seseorang yang rumah tangganya sedang menjadi bahan gosip panas, maka bukan mustahil saya diheret oleh si penghantar mesej itu untuk berkisah tentang rumah tangga orang.
Hal begitu selalu berlaku. Dahulu saya kerap diumpan bersembang mengenai politik tetapi kebelakangan ini saya kerap diajak bersembang atau ‘dipaksa’ mendengar orang lain bersembang rumah tangga orang.
Dan dulu-dulu yang suka bercakap hal dalam kelambu orang cuma kaum Hawa, sekarang ini yang Adam pun dua kali lima.
Macam seorang kawan saya di Kajang, rumah tangga artis dan pemimpin politik mana yang dia tidak tahu. Semuanya dia boleh ulas.
Bukan yang zaman sekarang sahaja, yang zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tan Sri P Ramlee pun dia tahu. Yang dia tak tahu cuma kenapa tiga kali dia berkahwin, ketiga-tiga isterinya lari ikut jantan lain.
Walaupun dari segi etmaloginya gosip berasal daripada perkataan English Lama iaitu godsibb – pada abad ke-16 digunakan untuk menunjukkan perbuatan seseorang – kebanyakannya perempuan – yang gemar bercakap kosong dan suka membawa cerita, namun hakikatnya amalan bergosip itu telah berlaku ribuan tahun sebelum perkataan itu muncul.
Semasa pandemik Covid-19, ia mungkin sedikit berkurang tetapi berhenti tidak sama sekali. Perintah Kawalan Pergerakan setakat mampu mengehadkan pergerakan fizikal tetapi tidak mampu membendung perjalanan gosip.
Teknologi moden membolehkan orang bergosip tanpa perlu bersua muka.
Sejak ribuan tahun dahulu, gosip selalunya berkisar tentang hal ehwal orang lain. Jarang kita dengar orang menggosip dirinya sendiri.
Tumpuan gosip pula selalunya pada orang dalam lingkungan dikenali oleh tukang gosip dan pihak yang menganga mendengar ceritanya.
Sekarang tidak begitu. Sesiapa sahaja boleh jadi bahan gosip. Ia menyebabkan orang tidak dikenali pun boleh jadi terkenal sekelip mata. Dalam kes-kes tertentu, si tukang gosip pun ikut terkenal.
Walaupun gosip membawa konotasi negatif tetapi pada dasarnya ia tidaklah buruk secara keseluruhan.
Ahli psikologi berpandangan gosip boleh mengeratkan jalinan sosial kerana khalayak terlibat dengan sesuatu gosip akan terdorong membentuk kumpulan sesama mereka untuk bertukar-tukar maklumat, berkongsi kegembiraan dan melepaskan emosi.
Jadi positifnya memang ada tetapi bergantung pada bahan gosip. Kalau yang digosipkan itu soal pemalas dan kaki culas berisiko tidak mendapat kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, kesan positifnya ia mendorong ramai penjawat awam cuba jadi lebih rajin walaupun mungkin termasuk rajin mengampu bos.
Tetapi bagaimana kalau bahan gosip itu hal ehwal rumah tangga orang? Mencari positifnya barangkali samalah macam mencari nasi ambeng di kedai nasi kandar.
Namun itulah banyak berlaku sekarang. Bergosip rumah tangga orang telah menjadi budaya baharu.
Daripada lebih 28 juta pengguna media sosial di negara ini – berdasarkan statistik pada Januari 2024 – sebahagian besarnya mungkin memulakan hari mereka dengan mencari berita yang mempunyai unsur gosip. Begitu juga sebelum masuk tidur.
Kata mereka yang ahli, gosip mempunyai kaitan dengan status sosial seseorang, di mana golongan yang berjaya sering mengelak daripada terlibat dengan sebarang gosip kerana menganggap ia hanya membuang masa, melukakan perasaan orang yang digosipkan dan merosakkan diri sendiri.
Jika kenyataan itu benar, adakah ini bermakna masih terlalu ramai orang yang tidak berjaya di negara ini?...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!