Petugas PATUH bantu TH jaga jemaah haji
MADINAH - Pembantu Petugas Haji (PATUH) berfungsi membantu Petugas TH dalam operasi haji terutama dalam mengendalikan jemaah haji Malaysia yang memerlukan bantuan kebajikan dan perubatan.
Selain itu, petugas PATUH juga berfungsi sebagai pemudahcara petugas TH dengan kerajaan Arab Saudi.
Kerani Pejabat Operasi Madinah, Majed Abdulrahman Taib berkata, seramai 69 orang petugas PATUH ditempatkan di sini, yang terbahagi kepada 49 orang menjaga unit kebajikan dan 20 orang menjaga unit perubatan.
Majed yang sudah bersama dengan TH sejak 2013 berkata, antara kriteria yang dilihat untuk mengambil seseorang menjadi petugas PATUH adalah mempunyai kemahiran menjaga jemaah haji dan kebolehan berkomunikasi.
“Kali pertama saya kerja dengan TH adalah sebagai pemandu media pada 2013 sehingga 2019 dan masuk balik selepas Covid-19 pada 2021 bersama TH sehingga sekarang.
“Petugas PATUH ini mengikut semua unit TH, kalau perubatan ada yang jaga jemaah yang sakit, ada yang bantu tukang masak dan pelbagai lagi,” katanya.
Majid berkata, antara sebab ramai yang berminat untuk menjadi PATUH adalah kerana persamaan bahasa dan mereka suka dengan jemaah haji Malaysia.
“Ada yang berasal dari Pattani, Thailand, Indonesia, Malaysia dan ada juga dari Bangladesh. Yang penting mereka ini perlu pandai faham jemaah dan boleh bercakap bahasa Melayu,” katanya.
Antara petugas PATUH yang bertugas kali ini adalah Shukri Savee Arshadi, 51 tahun berasal dari Thailand, yang membantu pasukan perubatan di Madinah.
Shukri turut berperanan sebagai pengantara TH dengan pihak hospital Arab Saudi kerana kebolehan fasih berbahasa Arab dan Melayu.
"Saya sudah 20 tahun bersama TH, kerja saya adalah membantu doktor dan petugas dari kerja bawa pesakit ke hospital sampai membeli barang. Semua kerja yang diberi saya boleh buat.
“Saya juga bantu urus dalam membuka pusat operasi dan juga urusan pentadbiran. Alhamdulillah, saya suka kerja dengan TH, saya dapat belajar banyak benda dengan doktor TH,” katanya.
Selain membantu pasukan perubatan, terdapat juga petugas PATUH yang membantu pasukan media, antara adalah Ramy Abdul Aziz, 31.
Ramy bermula bekerja sebagai petugas PATUH sejak 2014 dan kini bertugas sebagai pemandu bagi membawa pasukan Petugas Media TH ke lokasi luar.
"Saya sudah bekerja bersama Tabung Haji sejak 2014 dan kini diletakkan sebagai pemandu pasukan media.
“Saya lahir dan membesar di Arab Saudi tetapi keluarga berasal dari Kuala Lumpur dan kini ada ahli keluarga yang sudah tinggal di Malaysia,” katanya.
Setiap tahun sebanyak 200 permohonan untuk menjadi petugas PATUH diterima TH yang meliputi orang baru dan juga yang mempunyai pengalaman.
Antara syarat untuk menjadi petugas PATUH adalah seseorang itu perlu menetap di Arab Saudi, umur tidak lebih 60 tahun, sihat tubuh badan dan mahir dengan tempat yang sering diziarahi jemaah haji di Madinah, Jeddah dan Makkah.
Selain itu, petugas PATUH juga perlu arif tentang undang-undang kerajaan Arab Saudi termasuk mengetahui had kawasan yang boleh dimasuki jemaah.
Petugas PATUH akan bekerja selama dua bulan dan bekerja antaranya dalam sektor perubatan, kebajikan, zon, maktab, media dan pengurusan khidmat pelanggan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!