Debaran menanti ofensif Rafah

Tiada lagi tempat selamat boleh dituju penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak lebih tujuh bulan lalu.
Tiada lagi tempat selamat boleh dituju penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak lebih tujuh bulan lalu.
A
A
A

GENTING GAZA - Israel melancarkan serangan ke atas bandar Rafah di bawah tindakan provokasi untuk memberi tekanan kepada Hamas menjelang rundingan di Mesir pada Selasa untuk memeterai perjanjian gencatan senjata yang dikemukakan kumpulan pejuang bumi Gaza tersebut.

AFP melaporkan bandar tersebut dihujani bom sepanjang malam yang turut meragut sejumlah nyawa dan mencederakan beberapa yang lain.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari berkata, unit jet pejuang mereka membedil lebih 50 sasaran Hamas di Rafah.

Rejim Zionis memberi alasan kononnya operasi itu diteruskan bagi menggesa Hamas membebaskan empat tawanan dan bertujuan untuk mencapai objektif perang lain.

Selepas beberapa minggu menghebahkan rancangan ofensif lebih ganas ke atas bandar paling selatan Genting Gaza itu, IDF pada Isnin mengarahkan kira-kira 100,000 daripada 1.2 juta penduduk Palestin yang berlindung di kawasan itu supaya meninggalkan timur Rafah ke 'zon kemanusiaan diperluaskan'.

Penduduk Gaza membawa barangan keperluan mereka berpindah dari timur Rafah.
Penduduk Gaza membawa barangan keperluan mereka berpindah dari timur Rafah.

Hamas yang enggan membiarkan lebih ramai nyawa orang awam tidak berdosa menjadi korban kezaliman rejim Zionis memaklumkan kepada perantara Mesir dan Qatar bahawa mereka bersetuju dengan pelaksanaan tempoh bertenang selepas perang genosid itu kini memasuki bulan kelapan.

Jurucakapnya, Khalil al-Hayya memberitahu Al Jazeera, pelan yang dipersetujui Hamas melibatkan gencatan senjata yang akan dilaksanakan di bawah tiga fasa termasuk pengunduran sepenuhnya IDF dari Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan dengan matlamat untuk menghentikan peperangan secara kekal.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh mendakwa cadangan Hamas itu tidak menepati tuntutan penting mereka, namun Tel Aviv bersetuju menghantar perunding ke Kaherah untuk perbincangan lanjut.

Amerika Syarikat (AS), selaku sekutu kuat Israel pula menyatakan mereka sedang menyemak semula respons diberikan Hamas.

Doha dalam satu kenyataan mengesahkan ia telah menghantar delegasi ke Mesir untuk menyambung semula proses damai itu dan berharap gencatan senjata serta-merta dapat dicapai di Genting Gaza.

“Israel kini perlu membuat keputusan sama ada mahu menerima atau menolak gencatan senjata itu,” tegas seorang pegawai kanan Hamas yang enggan identitinya didedahkan.

Ketika ini, komuniti antarabangsa termasuk Washington terus menentang rancangan operasi darat berskala besar ke atas Rafah yang bersempadan dengan Mesir kerana khuatir ia bakal menyebabkan bandar selatan itu bermandi darah dan memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di wilayah terkepung berkenaan.

Komuniti yang tinggal di bawah khemah sementara terpaksa akur dengan arahan perpindahan Israel.
Komuniti yang tinggal di bawah khemah sementara terpaksa akur dengan arahan perpindahan Israel.

Kebimbangan semakin meningkat setelah unit infantri IDF dikatakan telah ditempatkan di lintasan sempadan Kerem Shalom (Karem Abu Salem) sebagai persediaan untuk melancarkan ofensif ke atas Rafah.

Guna alasan sasar kubu kuat terakhir Hamas

Pada minggu lalu, Netanyahu berulang kali menyatakan pasukan tentera mereka tetap akan mara ke bandar tersebut sama ada dengan atau tanpa perjanjian bagi mencapai matlamat untuk melenyapkan Hamas.

“Kami tiada pilihan lain dan akan memusnahkan batalion Hamas di Rafah untuk menyelesaikan objektif keseluruhan peperangan ini,” katanya dengan angkuh.

Kabinet perang Israel turut meluluskan pelan ofensif tersebut dan mengerahkan unit infantri bersama kereta kebal ke selatan Tel Aviv untuk bersiap siaga.

Israel mendakwa kononnya kubu kuat terakhir Hamas berada di Rafah selepas perang ganas itu membongkar sebanyak 18 daripada 24 batalion Hamas setelah serangan pertama menyasarkan kawasan utara.

Zionis menuduh terdapat empat batalion Hamas di bandar selatan itu yang turut menjadi tempat persembunyian beberapa pemimpin kanan mereka.

Serangan darat yang disokong kempen pengeboman ganas sejak Oktober lalu telah membinasakan seluruh kawasan utara dan bandar selatan Khan Yunis serta menyebabkan sejumlah besar kematian orang awam meskipun arahan berpindah telah diberikan untuk zon tersebut.

Kumpulan terbaharu ini dijangka menerima nasib sama walaupun IDF mengarahkan mereka berpindah ke 'pulau kemanusiaan' digelar Muwasi yang hanya berkeluasan kira-kira 20 kilometer persegi di barat daya Gaza berikutan butiran pelan itu tidak jelas terutamanya dari segi logistik.

Ia dikhuatiri akan mengakibatkan penderitaan lebih buruk terhadap golongan berkenaan termasuk wanita dan kanak-kanak yang terpaksa berpindah-randah. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!