Kanak-kanak tidak perlu akaun media sosial

Platform X, TikTok, Facebook, Instagram atau apa juga yang seangkatan dengannya menyebabkan anak-anak terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai seperti keganasan atau pornografi. Gambar hiasan
Platform X, TikTok, Facebook, Instagram atau apa juga yang seangkatan dengannya menyebabkan anak-anak terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai seperti keganasan atau pornografi. Gambar hiasan
A
A
A

MEMPUNYAI dua orang anak yang masih berusia 13 tahun ke bawah membuatkan penulis takut dengan dunia maya tanpa sempadan hari ini.

Dalam kita sebagai ibu bapa berjaga-jaga agar anak tidak terjebak dengan anasir tidak baik daripada media sosial ini, namun kanak-kanak ini adakala lebih ke hadapan dalam pengetahuan ilmu dunia maya.

Sementelah di luar sana banyak kejadian jenayah membabitkan remaja bawah umur sehingga ada yang sanggup melarikan diri bersama orang yang baru dikenali. Jika diselidik semula puncanya, tidak mustahil ia angkara pengaruh media sosial.

Isu kebejatan angkara media sosial yang mendorong sesetengah anak remaja hari ini bertindak di luar kawalan begitu menakutkan.

Kalau dikawal pun, mereka tetap tahu cara lain untuk mengakses media sosial, kecuali ibu bapa langsung tidak memberikan anak-anak mereka dengan gajet.

Oleh kerana itu, penulis setuju dengan langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak berusia bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Menteri Fahmi Fadzil berkata, SKMM mendapati kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial. Malah, kebanyakan platform media sosial meletakkan syarat golongan itu tidak boleh memiliki akaun sendiri.

Namun begitu, bagi penulis, selagi anak-anak diberi kebenaran untuk memiliki telefon bimbit sendiri, selagi itulah masalah remaja dan media sosial tidak akan selesai.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, risiko keselamatan terhadap kanak-kanak akibat penggunaan internet dan media sosial semakin meningkat. Pendedahan kepada kandungan seksual dilihat risiko terbesar kini.

Platform X, TikTok, Facebook, Instagram atau apa juga yang seangkatan dengannya menyebabkan anak-anak terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai seperti keganasan atau pornografi, sama ada maklumat berbentuk imej, video atau animasi, walaupun kebanyakan pelantar media sosial mempunyai dasar untuk menghalang kandungan jenis ini daripada dipaparkan dalam suapan pengguna.

Pengarah Jabatan Penyiasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini berkata, akses terlalu mudah kepada media sosial terutamanya kandungan berunsur seks adalah antara penyebab berlakunya masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, masalah itu berlaku kerana kanak-kanak mudah mendapatkan akses kepada perkara-perkara negatif khususnya kandungan pornografi yang terkandung di dalam media sosial.

Namun bagi penulis, paling utama adalah pendidikan. Dengan pendidikan digital di sekolah, apa sahaja yang Kementerian Komunikasi cadangkan untuk kebaikan anak-anak ia lebih mudah dihadam, difahami dan diaplikasikan.

Justeru, Februari lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya perlu memohon penyelarasan daripada Kementerian Komunikasi sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan membabitkan golongan berkenaan.

“Kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi memandangkan saya memerlukan maklumat dan pedoman daripada beliau supaya kita juga boleh tengok kesan dan impaknya kepada anak-anak kita.

“Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa,” ujar beliau.

Yang pasti, usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak dapat membantu dalam memastikan anak-anak mendapat manfaat positif daripada penggunaan teknologi digital tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Bagaimanapun, penulis tetap dengan pandangan bahawa kanak-kanak bawah umur tidak perlu memiliki akaun media sosial walau apa jua alasan diberikan.

* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!