Nissan ibarat pepatah berkerat rotan, berpatah arang dengan Renault
EKORAN susulan insiden bekas peneraju Nissan Motor Co, Carlos Ghosn yang ditangkap di Tokyo, Jepun akibat salah laku kewangan, Nissan kini dikatakan merancang untuk menamatkan perkongsian dan membubarkan kerjasamanya dengan Renault.
Menurut laporan Financial Times (FT), Nissan merancang untuk memisahkan sepenuhnya unit kejuruteraan dan pembuatan daripada pengeluar kereta Perancis itu selain mengusulkan perubahan pucuk pimpinan Nissan yang baharu.
Ghosn yang disifatkan 'pelarian' dari Jepun kini dianggap sebagai satu batu loncatan untuk Nissan mempercepat perancangan agenda menamatkan kerjasama itu, apatah lagi pergeseran antara kedua-dua pengeluar tersebut kini hebat diperkatakan oleh ramai pihak.
Sementara itu dalam satu kenyataan berbeza, Nissan menafikan laporan yang mendakwa mereka mahu ‘bercerai’ daripada 'pakatan' Renault-Nissan.
Namun, Nissan tidak mungkin akan berpisah dengan tiga gabungannya iaitu Renault-Nissan-Mitsubishi kerana ia merupakan sumber kekuatan Nissan untuk berdaya saing dalam pasaran global.
Malah, ketuanya yang baharu (Renault-Nissan-Mitsubishi), Jean-Dominique Senard berkata, tiga pengeluar itu tidak akan sesekali mati dengan begitu mudah.
Menurut sumber yang rapat dengan isu berkenaan, dakwaan Nissan yang mahukan perpisahan tersebut mungkin berpunca daripada sekumpulan pegawai yang tidak berpuas hati terhadap keadaan semasa.
Eksekutif Nissan yang membuat rancangan kontingensi untuk berpecah dengan Renault itu didakwa ingin mempercepat penjualan saham pengeluar kereta Perancis tersebut.
"Untuk membina kembali kepercayaan antara kedua-dua belah pihak mungkin akan mengambil masa dan tidak mudah," kata Nissan seperti dipetik menerusi FT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!