[VIDEO] Muhyiddin dapatkan pasport lawat kakak sakit kanser di Australia

A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenarkan untuk mendapatkan pasport secara sementara oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, bagi membolehkannya melawat kakak yang menghidap kanser di Australia.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhyiddin, 77, menerusi peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Ia termasuk tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

“Dokumen perjalanan itu akan diserahkan kepada wakil peguam Tang Jia Yearn hari ini dan ia perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 28 Mei,” katanya.

Muhyiddin
Muhyiddin

Semasa prosiding, Hisyam memohon pasport diserahkan sementara kepada Muhyiddin kerana anak guamnya akan bertolak ke Australia pada Isnin minggu depan.

Menurutnya, kakak Muhyiddin yang mencecah 82 tahun menghidap penyakit kanser maka anak guam selaku pemohon akan kembali ke tanah air pada 25 Mei.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, dokumen berkenaan akan diserahkan semula kepada mahkamah empat hari kemudian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad berkata, pihaknya tidak membantah permohonan terbabit kerana alasan yang dikemukakan dalam afidavit adalah munasabah.

Dalam pada itu, Hisyam memohon prosiding kes menyalahgunakan kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram ditangguhkan.

Ia sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman keputusan oleh panel hakim sebelum ini yang akan di dengar pada 9 Julai depan diputuskan.

Kes terbabit adalah arahan supaya kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Muhyiddin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Hisyam berkata, permohonan berkenaan difailkan pada Selasa, maka pihaknya memohon perkara tersebut didengar terlebih dahulu.

Mendengar permohonan berkenaan, Nor Asma mengesahkan notis permohonan itu telah diterima menerusi emel

“Kami akan failkan afidavit bantahan terhadap permohonan tersebut dan mohon empat pertuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama didengar terlebih dahulu,” katanya.

Pada 28 Februari, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan pendakwa raya, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan kes salah guna kedudukan untuk suapan bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 15 Ogos tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden parti, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Muhyiddin dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pemimpin Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!